PAS hari ini menghantar memorandum menuntut penjelasan Kementerian Kerjaraya berhubung kenaikan lebih seratus peratus kos projek pembinaan Istana Negara di Jalan Duta di ibunegara.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata projek pembinaan istana tersebut menjadi kontroversi apabila secara tiba-tiba kosnya meningkat dari RM400 juta menjadi RM1.1 bilion.

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut, beliau berkata, kenaikan sekitar RM200 juta untuk menjadikan kosnya RM600 juta boleh diterima, tetapi tidak, apabila kosnya meningkat sebanyak RM700 juta.

Sebelum itu, beliau menyerahkan memorandum tesebut kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kerjaraya, Datuk Syed Jamal Syed Jaafar yang menerimanya bagi pihak menteri berkenaan, Datuk Seri S Samy Vellu di kementeriannya di ibunegara hari ini.

Surat itu mempersoalkan apakah sebenarnya kaedah atau perubahan yang besar terhadap cadangan asal projek tersebut hingga berlaku kenaikan melebihi seratus peratus.

Majlis pelancaran projek tersebut disempurnakan oleh bekas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail, akhir tahun lalu.

Istana Negara dibina di atas tapak seluas 96.52 hektar mulaiJun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 2009.

Runding terus

Mahfuz juga mempersoalkan pemilihan kontraktor utama projek tersebut yang didakwanya bukan dari kelas A dan juga tidak berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

"Mengapa projek ini dibuat secara runding terus dan berlaku secara luar biasa serta harga tawaran kontraktor yang terlalu tinggi? Kenapa rundingan harga dipercepatkan dan diberikan kepada kontraktor yang tidak layak," soalnya.

Menurut Mahfuz, memberi projek secara rundingan terus bercanggah dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa semua projek kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dibuat secara tender terbuka.

Katanya, pembinaan kos Istana Negara yang begitu tinggi juga menimbulkan persoalan kerana ia bukan membabitkan aspek keselamatan seperti polis dan tentera.

Sementara itu, Syed Jamal berkata, pihaknya akan membuat laporan mengenai perkara ini kepada Samy Vellu untuk tindakan lanjut.

"Kami memerlukan sedikit masa untuk menjawab isu ini kerana projek pembinaan Istana Negara bukan bidangkuasa Kementerian Kerjaraya sahaja tetapi tetapi termasuk Kementerian Kewangan," katanya.