Seorang aktivis politik dan kebajikan sosial mencabar semua ahli parlimen untuk menentang ketua whip parti mereka jika diminta menyokong cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan.

Pengasas bersama Buku Jalanan Chow Kit Siti Rahayu Baharin menggesa semua ahli parlimen menolak dan mengundi menentang rang undang-undang pindaan kerakyatan di Dewan Rakyat.

"Jadi bebaskan diri YB sekalian ni daripada party whip. Kalau semua kata "kena dengar (Menteri Dalam Negeri) Saifuddin (Nasution Ismail) sebab dia senior kita....

"Saya harap harap YB berani berdiri tegak pada kebenaran. Jangan ikut kata whip. Gunakan suara anda, rakyat memberikan anda suara (di Dewan Rakyat) itu.

Gambar fail, Rahayu ketika berkempen pada PRU lepas.

"Gunakanlah untuk menolak RUU yang sangat regresif," kata Rahayu yang juga bekas calon Muda untuk parlimen Tanjong Karang pada PRU15 lalu.

Aktivis itu membuat gesaan tersebut pada majlis forum “Hak Asasi Manusia Di Bawah Saifuddin Nasution – Apa Sudah Jadi?” anjuran beberapa NGO di Advance Tertiary College, Kuala Lumpur malam tadi.

Rang undang-undang itu dirancang dibahaskan dan diundi pada Mac tetapi kerajaan pada masa itu menamatkan sidang Dewan Rakyat sejurus sebelum perbahasan.

Ia sekali lagi ditangguhkan semasa sesi parlimen Julai lalu.

Saifuddin berkata rang undang-undang itu telah dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja sekali lagi dan masih memerlukan penambahbaikan.

Saifuddin, yang juga setiausaha agung PKR mengesahkan bacaan kedua dan ketiga rang undang-undang pindaan itu akan dibentangkan di parlimen pada sesi akan datang pada Oktober tahun ini, apabila Belanjawan 2025 dijangka dibentangkan.

Rang undang-undang itu antara lain akan memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak wanita Malaysia yang dilahirkan di luar negara.

Bagaimanapun, aktivis mengkritik kerajaan kerana tidak menjadikan hak itu dikuatkuasakan dengan mencakupi permohonan pada masa lalu.

NGO Family Frontier berjuang untuk mendapatkan kerakyatan anak-anak yang ibunya warganegara Malaysia tetapi lahir di luar negara.

Ini bermakna ibu-ibu yang aktif berkempen untuk mendapatkan kewarganegaraan buat anak-anak mereka tidak akan mendapat manfaat daripada undang-undang.

Ini antara isu yang dipertikaikan oleh aktivis kerana boleh menyebabkan lebih ramai orang tanpa kerakyatan.

Terdapat juga spekulasi penolakan daripada ahli parlimen kerajaan terhadap rang undang-undang itu.

Rang undang-undang itu memerlukan sokongan dua pertiga anggota Dewan Rakyat bersamaan 148 undi, kerana ia melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Gambar fail, kempen NGO Family Frontier.

Walaupun mengakui Saifuddin dan kementeriannya telah meneliti dan meluluskan banyak permohonan kerakyatan yang tertunggak namun Rahayu mengingatkan menteri itu supaya tidak berbangga dengan pencapaian itu.

"Tapi saya nak ingatkan YB Saifuddin, itu tanggungjawab YB sebenarnya.

"Itu kerja kamu paling minimum. Kamu dibayar untuk melakukan itu, kamu memilih untuk melakukannya.

“Memang kerja kamu untuk menyelesaikan hal kewarganegaraan,” kata Rahayu lagi.

Pada Jun, Saifuddin berkata misinya untuk menyelesaikan 14,000 permohonan mendapatkan kerakyatan Malaysia yang tertunggak menjelang akhir tahun.

Dalam pada itu, Rahayu menegaskan orang yang tanpa kerakyatan ini tidak meminta-minta untuk dibela.

"Tak minta. Mereka bekerja keras untuk hidup dan meneruskan kehidupan. Percayalah, kami bekerja dengan orang-orang ini.

"Mereka jadi miskin kerana ditindas sistem akibat jadi tanpa warganegara. Mereka bukan orang malas tapi orang yang wajib dipulangkan hak. Bukan diberikan hak, dipulangkan hak mereka," katanya lagi.