Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hanya k'jaan Kelantan boleh selesaikan isu tanah peneroka Kesedar - MB

Kerajaan negeri Kelantan akan meluluskan pemberian geran tanah kepada peneroka sekiranya Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) menyelesaikan bayaran premium tanah.

Menteri Besar Kelantan, Nassuruddin Daud, berkata hanya kerajaan negeri boleh menyelesaikan isu pemberi geran kepada peneroka Kesedar.

"Sebenarnya kerajaan (negeri) nak bagi geran tapi Kesedar dia kena bayar premium. Kalau dia kata boleh bagi geran tak betul, hanya kerajaan (negeri) boleh bagi geran.

"Hak dia bagi tu surat (geran sementara) tak laku, gadai bank tak laku, geran warna hijau (hak laku), geran warna biru tak laku.

"Kalau dia (Kesedar) perjelas (selesaikan) premium, kita bagi geran," katanya ketika ditemui di Pasir Tumbuh, Gua Musang, petang ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata kerajaan negeri Kelantan akan mendapatkan maklumat tepat berhubung status tanah berkenaan sama ada ia milik Kesedar atau sebaliknya.

Mohamed Fadzli berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai dakwaan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dalam ceramahnya mendakwa Kesedar sengaja melengahkan proses pemberian geran kepada penduduk tanah yang sudah diluluskan oleh kerajaan negeri.

Takiyuddin turut mendakwa, ribuan lot membabitkan 602 permohonan di Limau Kasturi dan 1,374 permohonan di Sungai Terah sudah diluluskan oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Pengerusi Kesedar, Zawawi Othman, tidak mahu kerajaan negeri mencampuri urusan tanah agensi berkenaan.

Dia menjelaskan tanah Kesedar itu membabitkan lima lokasi iaitu di Renok, Sungai Asap, Limau Kasturi Kesedar, Jeram Tekoh dan Meranto.

Mengulas mengenai 27 kediaman yang dirobohkan di Bertam Lama susulan pembinaan jalan raya, Nassuruddin berkata kerajaan negeri telah besetuju untuk memberi penempatan buat penduduk yang terlibat.

Katanya, 27 pemilik kediaman di Bertam Lama itu akan diberikan tanah lot banglo dan ia akan dikenal pasti oleh pegawai daerah.

"Ambo (saya) jumpa DO kita sedia tapak, kita bagi kat tiap-tiap orang, ada 27 orang, kita minta mereka pergi buka fail kat pejabat tanah.

"Kita boleh beri untuk bayar (premium) secara ansuran mengikut kemampuan penduduk terlibat seramai 27 rumah," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS