Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ujian DNA sahkan mayat tanpa kepala milik Cikgu Istiqomah 
Diterbitkan:  Aug 12, 2024 12:55 PM
Dikemaskini: 4:55 AM

Kehilangan seorang guru wanita di Johor lapan bulan lalu terjawab apabila ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati ia sepadan dengan mayat tanpa kepala, tangan dan kaki yang ditemui selepas itu. 

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah justeru mengesahkan ia milik guru Sekolah Kota Masai 3, Pasir Gudang, Istiqomah Ahmad Rozi, 33.

Menurut Ashari, polis menahan pasangan suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak, lapor media.

Siasatan ke atas mereka, katanya, membawa kepada penemuan sebahagian anggota badan termasuk tulang jari dan bahagian kepala.

Ia ditemui kira-kira lima kilometer dari tempat pertama mayat ditemukan.

Tambahnya, mangsa yang mempunyai tiga orang anak dipercayai mengenali suspek dan terlibat dengan urusan pelaburan.

Bagaimanapun, kata polis, isterinya tidak mengenali mangsa.

“Kedua-dua individu yang ditahan telah dibenarkan reman selama tujuh hari bermula 6 Ogos lalu dan pihak polis akan mohon sambung reman hari ini terhadap suspek lelaki yang ditahan," katanya lagi.

Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan membunuh. 

Mangsa dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah selepas kerja. 

Kereta serta kunci keretanya ditemui di sekitar pasar raya Lotus’s Kota Masai, tidak jauh dari situ.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS