Dua pemegang saham Maika telah mengemukakan pencalonan untuk bertanding jawatan pengarah dalam mesyuarat agung tahunan Maika Holdings Bhd.

Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M Kulasegaran dan aktivis politik, VK Vembarasan mengemukakan pencalonan mereka kepada Pengurus Kewangan Kumpulan Maika Group, Veera Mohan hari ini.

Ketika dihubungi, Vembarasan menjelaskan sebab-sebab mengapa beliau mencalonkan dirinya untuk bertanding.

"Maika adalah salah sebuah syarikat terbesar di dunia dengan lebih 60,000 pemegang saham. Bagaimanapun, syarikat itu hanya mempunyai dua pengarah. Kita merasakan ia mesti mempunyai lebih pengarah," katanya.

Beliau berkata, pada tahun 1980-an dan 1990-an, syarikat itu mempunyai sembilan orang pengarah, tetapi jumlahnya telah merosot sejak kebelakangan ini.

"Pengerusinya (Abdul Rashid Abdul Manaff) jarang menghadiri sebarang mesyuarat dan kita perlukan lebih banyak kepala untuk memberi input," katanya.

"Adakah mereka mempunyai agenda tersembunyi apabila tidak mempunyai lebih daripada dua pengarah?" soalnya.

Samy akan hadir

Vembarasan juga mahu pengasas Maika yang juga Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu menghadiri mesyuarat agung tahunan syarikat tersebut yang dijadualkan pada 30 Ogos di Pusat Konvensyen Mont Kiara, Kuala Lumpur.

"Sebagai pengasas syarikat tersebut, sepatutnyalah beliau menghadirinya untuk menjawab soalan-soalan dari pemegang saham," katanya, sambil menambah, para pengarah mesti memastikan mesyuarat tersebut dijalankan dengan sempurna.

Sementara itu, Kulasegaran berkata, kedua-dua mereka mahu berkhidmat kepada pemegang saham, jika dipilih menjadi pengarah syarikat tersebut.

"Jika kami dipilih, kita akan mendedahkan kegagalan syarikat tersebut, Kita akan mendedahkan apa yang berlaku selama ini," katanya, sambil menambah bahawa Vembarasan dan beliau mempunyai kepakaran untuk menguruskan "syarikat yang bermasalah itu".

Beliau juga menegaskan, jika dipilih, kedua-dua mereka telah memutuskan tidak akan menerima sebarang bentuk pendapatan daripada syarikat tersebut.

Sambil menjelaskan bahawa ia terpulang kepada pemegang saham sama ada mahu memilih mereka atau tidak, Kulasegaran berkata: "Kita meminta semua pemegang saham, yang memiliki saham sedikit ataupun banyak, supaya menghadiri mesyuarat tersebut."

Isnin lalu, 10 pemegang saham Maika, yang diketuai oleh Kulasegaran, mengemukakan satu memorandum kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, menggesanya supaya menangguhkan mesyuarat agung tahunan tersebut dan menukar tempat mesyuarat.

Pemegang saham merasakan tarikh 30 Ogos tidak sesuai kerana ianya adalah sehari sebelum cuti umum dan tempat mesyuarat juga terletak terlalu jauh dari pusat bandaraya.