PRK NENGGIRI | Kawasan Nenggiri mempunyai tempat yang istimewa di hati Ahmad Zahid Hamidi sehingga menyebabkan dia sudah lima kali turun ke situ untuk membantu calon parti kerajaan.
Bahkan pengerusi BN itu berjanji untuk menjadikan Nenggiri kawasan tumpuan kerajaan pusat jika calon mereka, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang dalam PRK Sabtu ini.
Kata Ahmad Zahid, tidak pernah dalam mana-mana PRK dia turun padang sekerap itu berbanding di Nenggiri.
Justeru dia memberi jaminan untuk membantu Mohd Azmawi - yang lebih dikenali sebagai Awie - dalam membangunkan kawasan Nenggiri selepas ini.
"Awie jangan sege-sege (segan-segan). Abe ake (akan) tolong Awie," kata Ahmad Zahid ketika berucap di Kampung Limau Kasturi, semalam.
"(Kerana itu) Awie kena mene (menang) supaya menjadi jambate (jambatan) kepada kerajaan," katanya lagi.
Dia yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dijangka akan turun lagi ke Nenggiri untuk berkempen pada 15 Ogos ini.
Sementara itu berucap di Jeram Tekoh pula, Ahmad Zahid berkata paling banyak dia turun padang untuk berkempen dalam mana-mana PRK ialah dua kali saja.
Namun katanya keadaan di Nenggiri berbeza.
"Saya datang lima kali ke Nenggiri. Saya tak pernah datang PRK Lebih dua kali. Saya datang lima kali kerana kaykinan saya kepada Awie sebagai calon," kata yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim, diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi yang terbabit memilih mengundi secara pos.
Mohd Azmawi dicabar calon PN, Mohd Rizwadi Ismail, yang juga merupakan bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang.
