Pengarah Suaram dilarang masuk Sarawak
Pengarah Suaram, Dr Kua Kia Soong dilarang masuk ke Sarawak malam tadi kerana namanya telah "disenaraihitamkan ekoran terbabit dalam kegiatan anti-pembalakan".
Pengarah Suaram, Dr Kua Kia Soong dilarang masuk ke Sarawak malam tadi kerana namanya telah "disenaraihitamkan ekoran terbabit dalam kegiatan anti-pembalakan".
Dalam satu kenyataan hari ini, Kua berkata, pegawai imigresen di lapangan terbang Kuching memaklumkan kepadanya mengenai perkara itu selepas menyaring MyKadnya pada kira-kira jam 9 malam tadi.
Menurutnya, pegawai berkenaan juga tahu yang beliau adalah bekas seorang ahli Parlimen.
Dr Kua, yang juga pengetua Kolej New Era dijadualkan merasmikan majlis graduan guru-guru di Kuching dan Sibu yang mengikuti kursus piploma pendidikan di kolej tersebut.
Beliau aktif dalam kempen menentang projek Ampangan Bakun dan menjadi ahli anggota pasukan yang menyiasat keadaan penduduk yang dipindahkan dari kawasan Bakun ke kem penempatan semula Sungai Asap pada 1998.
Dr Kua menegaskan bahawa tindakan terhadapnya oleh kerajaan Sarawak itu melanggarkan hak kebebasan pergerakan rakyat Malaysia dalam negaranya sendiri.
"Adalah jelas MyKad telah digunakan untuk menyimpan maklumat terkini dan untuk digunakan oleh pihak berkuasa tanpa memberi sebarang penjelasan," katanya.
Maklumat dalam MyKad
Dr Kua berkata, beliau sering keluar masuk Sarawak dengan menggunakan kad pengenalan lamanya tanpa sebarang masalah.
Jelas, katanya, MyKad baru menyimpan kesemua maklumat mengenai setiap rakyat Malaysia.
Kejadian tersebut juga, tambahnya, menunjukkan bahawa berlaku pertukaran maklumat antara kerajaan negeri dan pusat mengenai rakyat Malaysia.
Suaram juga menuntut penjelasan kerajaan pusat berhubung maklumat mengenai rakyat Malaysia yang disimpan dalam MyKad dan akses badan-badan dan pihak berkuasa yang lain terhadap maklumat tersebut.
Dr Kua menaiki penerbangaan pulang ke Kuala Lumpur pada 9.30 malam tadi.
Beliau telah mencetuskan kontroversi tiga bulan lalu ekoran penerbitan bukunya yang bertajuk 'May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969'. Berita asal

