Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kehadiran aktivis Orang Asli di pentas PAS tak jejaskan BN - Zahid

BN tidak terkesan dengan tindakan Timbalan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Nasir Dollah yang tampil di pentas ceramah PAS malam kelmarin.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu juga mempunyai pemimpin Orang Asli yang berada dalam arus perdana negara.

Ia merujuk kepada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Md Nor yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands.

"Kita pun ada wakil Orang Asli iaitu timbalan speaker (yang juga) ahli Parlimen Cameron Highlands dan beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA)," katanya ketika ditemui Pos Pulat, Gua Musang, petang tadi.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan masyarakat Orang Asli Pos Pulat.

Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai kehadiran Nasir yang juga aktivis Orang Asli di pentas PAS bagi menyatakan sokongan kepada PN kelmarin.

Ketika berucap, Nasir mengingatkan supaya tidak menjadikan masyarakat Orang Asli sebagai alat untuk meraih sokongan semata-mata.

Dia turut mengingatkan parti bertanding supaya tidak mengugut kumpulan minoriti itu.

Sebaliknya kata Nasir, Orang Asli memerlukan pembelaan sewajarnya daripada wakil rakyat.

PRK DUN Nenggiri membabitkan 20,259 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon PN, Mohd Rizwadi Ismail.

Daripada jumlah keseluruhan pengundi, kira-kira 10 peratus adalah masyarakat Orang Asli.

PRK itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS