KLSCAH: Syarat bahasa Mandarin turut untungkan pelajar Melayu
Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (CRC-KLSCAH) berpendapat syarat kemahiran berbahasa Cina sebagai syarat pengambilan kerja, akan menguntungkan anak-anak Melayu dan kaum-kaum lain yang belajar di sekolah-sekolah Cina.
Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (CRC-KLSCAH) berpendapat syarat kemahiran berbahasa Cina sebagai syarat pengambilan kerja, akan menguntungkan anak-anak Melayu dan kaum-kaum lain yang belajar di sekolah-sekolah Cina.
Pengerusi Jawatankuasa Hak Sivil CRC-KLSCAH, Ser Chong Ing berkata, mereka merupakan kira-kira 10 peratus daripada lepasan sekolah-sekolah Cina.
Di samping itu ia juga menguntungkan pelajar Melayu yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), kata Ser dalam satu kenyataan hari ini.
"Mereka akan lebih berdayasaing daripada anak-anak Cina yang tidak fasih berbahasa Cina," tambahnya
"Sekiranya sektor swasta menyenaraikan kemahiran bahasa Cina sebagai syarat pengambilan kerja, ini adalah berasaskan keperluan pasaran dan tidak harus dilihat sebagai dasar perkauman oleh syarikat tersebut.
"CRC berpandangan syarikat swasta berkebebasan dan berhak untuk mengambil pekerja yang sesuai dengan keperluan syarikat. Dari segi ini, sesetengah syarikat menggariskan kemahiran bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia sebagai syarat, manakala syarikat lain mengkehendaki kemahiran dalam bahasa Mandarin.
"Sekiranya kerajaan mencampurtangan dalam pengambilan pekerja syarikat swasta, akan menafikan professionalisme dan kebolehan yang diperlukan dalam pekerjaan," tegas Ser.
Keperluan pasaran
Beliau mendakwa, kontroversi mengenai perkara tersebut sebenarnya menggambarkan prejudis kerajaan terhadap persoalan bahasa sepanjang masa ini, dengan mengaitkan bahasa dengan kaum, serta melihat sesuatu bahasa itu harta milik eksklusif sesuatu kaum.
"Sebenarnya, bahasa tidak mempunyai sifat kaum dan semua golongan boleh mempelajari mana-mana bahasa. Oleh itu, mana-mana kaum pun boleh belajar bahasa Mandarin dan melihatnya sebagai salah satu kebolehan untuk memenuhi keperluan pasaran.
"Kerajaan tidak harus berfikir sempit dengan menganggap bukan kaum Cina mesti tidak dapat mencapai syarat penguasaan bahasa Mandarin. Dalam zaman Globalisasi sekarang, persaingan dalam pasaran begitu hebat, ahli professional yang mempunyai kebolehan lebih akan mempunyai daya persaingan yang lebih tinggi.
Oleh itu, katanya, kerajaan harus bersikap hati terbuka dalam isu bahasa dengan memupuk rakyat supaya belajar lebih banyak bahasa untuk meningkatkan daya persaingan.
CRC juga menegaskan bahawa penguasaan bahasa sebagai syarat pengambilan kerja tidak sama dengan syarat yang berdasarkan kaum.
"CRC menyokong kuat sekiranya kerajaan ingin menghapuskan sikap perkauman dengan mengharamkan pengambilan pekerja yang semata-mata berdasarkan kaum, tidak kira kaum Cina, India atau Bumiputera," kata Ser.

