Pemuda Umno Pulau Pinang sudah bersedia untuk menawan semula kerusi Parlimen Permatang Pauh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihanraya umum akan datang, kata Setiausahanya, Ramlan Ishak.

Sambil mendakwa kedudukan PKR yang lemah, Ramlan berkata, pihaknya juga telah memberi tumpuan khas, termasuk memantau dan menangani isu yang cuba ditimbulkan pembangkang di kawasan tersebut.

"Pengaruh parti itu di Permatang Pauh sudah menuju angka sifar dan boleh berkubur bila-bila masa sahaja ekoran pengikutnya keluar beramai-ramai.

"Apa yang PKR Permatang Pauh ada lagi sekarang? Ahli tidak ada, jentera pilihanraya pun tidak ada. Apa yang mereka boleh buat?

"Rakan mereka iaitu PAS tidak mempunyai isu yang boleh digunakan dalam pilihanraya umum akan datang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Parlimen Permatang Pauh sejak dua penggal lalu diwakili oleh Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, yang juga Presiden PKR.

Permatang Pauh sebelum itu pernah menjadi kubu kuat Umno semasa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi ahli Parlimen kawasan tersebut dari 1982 hingga 1995.

Tiada isu

Bagaimanapun, pemecatan beliau pada 2 September 1998 menyebabkan Umno Permatang Pauh berpecah dua iaitu mereka yang menyokong Umno dan satu lagi keluar parti dan menyokong PKR.

Dalam pilihanraya umum 1999, Wan Azizah mengalahkan Datuk Ibrahim Saad, manakala pada pilihanraya lalu, beliau mengalahkan Datuk Pirdaus Ismail.

Bagaimanapun, Ramlan berkata, berdasarkan senario terkini adalah sukar untuk Wan Azizah menang sekali di Permatang Pauh dalam pilihanraya umum akan datang.

"Apa isu yang boleh Wan Azizah bawa kali ini? Isu sentimen bencikan Umno sudah tidak relevan lagi.

"Pemimpin PKR Permatang Pauh menggunakan isu kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menurut mereka lemah tetapi tidak cukup kuat untuk menarik sokongan pengundi," katanya.

Ramlan berkata, komposisi pengundi Parlimen Permatang Pauh ialah 70 peratus pengundi Melayu dan 30 peratus bukan Melayu di mana sebahagian besar terdiri daripada kaum Cina.

Umno, katanya mempunyai 90 cawangan dengan ahli seramai kira-kira 18,000 orang.

"Pengundi bukan Melayu di Permatang Pauh terbahagi dua - satu pihak menyokong kerajaan dan satu pihak lagi mengundi pembangkang tetapi majoritinya mengundi calon BN.

'Sebelahi kerajaan'

"Begitu juga dengan pengundi muda, bagaimanapun apa yang kita ketahui sebahagian besarnya menyebelahi kerajaan," katanya.

Mengenai kemelut kepimpinan Umno Permatang Pauh, Ramlan berkata, ia memang berlaku tetapi hanya perkara kecil dan isu tersebut boleh diselesaikan.

Katanya, pihaknya tidak menganggap ia sesuatu yang boleh menyebabkan berlaku perpecahan di kalangan ahli parti.

Rabu lalu, Ketua Wanita Umno Pulau Pinang, Datin Jahara Hamid mengumpamakan Parlimen Permatang Pauh sebagai sebuah` kawasan berkudis' sehingga berjaya dimenangi PKR sejak dua penggal lalu.

"Ia menjadi kawasan berkudis sejak peristiwa pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh ketika itu," katanya..

Kesannya, kata Jahara, masih ada sehingga hari ini dan kudisnya belum sembuh sepenuhnya walaupun peristiwa tersebut berlaku hampir 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, ia semakin pulih kerana semakin ramai ahli Umno yang menyokong pembangkang khususnya PKR, telah mula menunjukkan sokongan kepada Umno.