Makkal Osai akur hukuman penggantungan 30 hari
Pengurusan akhbar berbahasa Tamil Makkal Osai hari ini akur dengan keputusan kerajaan menggantung penerbitan akhbar itu selama sebulan berkuatkuasa hari ini.
Pengurusan akhbar berbahasa Tamil Makkal Osai hari ini akur dengan keputusan kerajaan menggantung penerbitan akhbar itu selama sebulan berkuatkuasa hari ini.
Pengurus Besarnya S M Periasamy berkata pengurusan akhbar itu akan cuba merayu kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) supaya
hukuman itu ditarik balik atau dipendekkan tempoh penggantungan.
"Kami akan cuba merayu pada Isnin ini dan berharap kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya.
"Kami telah melakukan kesalahan yang tidak disengajakan tetapi kami juga telah memohon maaf secara terbuka dan berharap semua pihak sedia memaafkan kami," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata kira-kira 100 pekerjanya akan dibenarkan bercuti mulai hari ini dan kembali menyambung tugas pada 24 September nanti.
KKDN bertindak menggantung penerbitan akhbar Makkal Osai selama sebulan mulai hari ini berikutan penyiaran satu iklan karikatur Nabi Isa memegang
sebatang rokok di tangan kanannya manakala tangan kirinya memegang setin minuman.
Makkal Osai dikenakan tindakan itu kerana melanggar perenggan 6 syarat-syarat permit yang dikeluarkan di bawah subseksyen 6(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memastikan akhbar tidak menyiarkan bahan-bahan penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan dari aspek ketenteraman awam, kemoralan, keselamatan atau yang mungkin enggemparkan fikiran orang ramai atau yang berlawanan dengan undang-undang atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara.
Makkal Osai meminta maaf secara terbuka sehari selepas menyiarkan iklan itu di muka depan akhbarnya.
Periasamy juga berkata pihaknya telah berjumpa dengan tokoh-tokoh agama Kristian bagi menjelaskan perkara itu dan meminta maaf.

