Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo diminta tidak mempertikaikan fakta-fakta sejarah yang telah diterima ramai tentang penubuhan Umno.

Sebaliknya, Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, adalah lebih baik bagi Menter Selangor itu menumpukan kepada soal masa depan Umno dan orang Melayu.

Beliau juga menasihatkan Dr Mohd Khir supaya mengelak daripada berbincang tentang soal remeh.

"Saya tidak tahu apa agenda dia (Menteri Besar Selangor), tetapi apa yang lebih mustahak adalah tanggungjawab dan kerja untuk menjamin masa depan bangsa dan negara.

"Sebagai pemimpin muda, beliau sepatutnya lebih fokus kepada perkara berkenaan masa depan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada pesakit Hospital Sultanah Aminah (HSA) sempena sambutan Bulan Kemerdekaan di Johor Bahru hari ini.

Menurut Bernama, Shahrir yang juga Ketua Umno Johor Bahru mengulas kenyataan Dr Khir semalam bahawa Umno ditubuhkan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur dan bukan di Istana Besar Johor sebagaimana yang dipersetujui oleh sejarah sebelum ini.

Menteri Besar Selangor itu berkata demikian dalam satu temubual untuk buletin rasmi kerajaan negeri Selangor "Suara Selangor Maju" keluaran 31 Ogos ini.

Shahrir berkata fakta yang telah diterima sejarah adalah Umno telah ditubuhkan secara rasminya di Istana Besar Johor setelah beberapa perjumpaan pemimpin-pemimpin Melayu di merata-rata tempat termasuk di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.

Menurut beliau, walaupun Umno dilahirkan di Istana Besar Johor, tetapi ahli Umno Johor tidak mendapat apa-apa keistimewaan dan fakta sejarah tentang perkara itu juga tidak menyebabkan penyelewengan dalam perjuangan Umno.

"Ini adalah soal remeh-temeh, sejarah itu adalah tentang sumbangan generasi lama. Sekarang ini adalah generasi Dr Khir, apa sumbangan dia pada masa depan?" katanya.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Johor Khalid Mohamad turut meminta Menteri Besar Selangor supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan ahli Umno di seluruh negara, termasuk mengenai bersejarah penubuhan parti itu sendiri.

"Umno telah ditubuhkan 61 tahun dahulu di Istana Besar, Johor. Sultan Johor pada ucapan penubuhan Umno di Istana Besar pada 11 Mei 1946 bertitah, Umno tidak dilahirkan di tepi jalan tetapi di istana.

"Mengapa beliau (Dr Khir) mahu mengelirukan ahli Umno dengan versi sejarah penubuhan Umno itu," katanya.

Kenyataan Dr Khir itu, katanya, turut menjejaskan imej Umno secara keseluruhannya di mata pemerhati luar kerana ia menggambarkan ahli Umno dan parti tersebut masih tidak bersetuju tentang sejarah penubuhannnya yang berlaku 61 tahun lalu.