PAU 2024 | Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad menggesa kerajaan mempertimbangkan semula pendekatan terhadap pembangunan ekonomi, termasuk mengkaji semula pelaksananaan rasionalisasi subsidi.

Katanya, negara ini memerlukan pendekatan lebih holistik, yang bukan sahaja memberi bantuan jangka pendek, tetapi juga membawa rakyat keluar daripada kitaran kemiskinan secara total.

"Wanita Umno juga menyeru kerajaan untuk mempertimbangkan semula pendekatan kita terhadap subsidi.

"Ya kita faham keperluan untuk mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan, tapi kita juga perlu memahami bahawa setiap ringgit yang dikurangkan daripada subsidi adalah pukulan hebat, pukulan berat kepada rakyat yang sudah terbeban.

"Kita mencadangkan satu kajian semula yang menyeluruh, satu pendekatan yang lebih berhemah dan berperingkat dalam rasionalisasi subsidi," katanya dalam ucapan dasar Wanita Umno sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Dalam pada itu, Noraini berkata kerajaan juga tidak boleh mengabaikan golongan M40 yang disifatkan "terlalu kaya" untuk layak menerima bantuan, namun “terlalu miskin” untuk hidup selesa dalam zaman ekonomi moden ini.

Kerajaan sebelum ini menarik balik subsidi diesel pada 10 Jun lalu dalam usaha untuk menjimatkan perbelanjaan dan membendung aktiviti penyeludupan.

Harga diesel pada masa ini diapungkan mengikut kadar pasaran dan dikemas kini setiap minggu seperti minyak petrol RON97.

Pemilik kenderaan persendirian yang layak boleh memohon bantuan bulanan sebanyak RM200, manakala pemilik kenderaan komersial boleh memohon kad fleet di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, berkata langkah ini memberi penjimatan kepada kerajaan sekitar RM4 bilion yang boleh digunakan untuk program lain.

Bagaimanapun, beberapa kumpulan industri tempatan seperti pengendali bas pelancongan dan perkhidmatan trak tunda merayu kerajaan memperluas subsidi diesel selepas mendapati mereka tidak termasuk dalam skim subsidi baru tersebut.

‘Gaji premium’

Dalam sidang media selepas itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan memastikan tenaga kerja mahir dibayar 'gaji premium'.

“Saya rasa kos sara hidup dan gaji yang akan diberikan kepada tenaga kerja kita mestilah selari dengan perkembangan ekonomi kita serta gaji yang telah diselaraskan untuk perkhidmatan awam,” katanya pada sidang media ketika diminta mengulas menggenai ucapan Noraini.

Menurut Ahmad Zahid, kenaikan kos barangan yang tidak munasabah dan inflasi perlu dibendung.

Pada masa yang sama, kerajaan perlu mencari keseimbangan antara permintaan dan penawaran dalam tenaga kerja antara barangan dan perkhidmatan, tambahnya.

Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan gaji penjawat awam antara tujuh dan 15 peratus mulai 1 Dis.