‘Majikan perlu diwajibkan undang-undang untuk semak gaji pekerja’
Tidak mungkin majikan akan secara sukarela memberikan “gaji munasabah” kepada pekerja mereka, menurut Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Pulau Pinang K Veeriah.
Veeriah mengulas seruan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar sektor swasta, terutama syarikat yang memperoleh keuntungan tinggi, untuk memberikan gaji yang lebih munasabah kepada pekerja mereka.
“Apabila melibatkan majikan, tak akan ada secara sukarela. Mereka perlu diwajibkan (naikkan gaji pekerja) melalui undang-undang.
“Dan ahli politik kita perlu ada tekad politik untuk melakukannya,” kata Veeriah kepada Malaysiakini.
Pada 16 Ogos lalu, Anwar mengumumkan kenaikan gaji untuk penjawat awam bermula 1 Disember ini. Pada masa sama, dia turut menyuarakan harapan agar syarikat swasta berkeuntungan tinggi akan memberi gaji yang lebih munasabah kepada pekerja mereka.
Pekerja tak dapat manfaat ekonomi
Mengulas lanjut, Veeriah berkata pada masa ini kira-kira dua juta rakyat Malaysia bekerja dalam sektor swasta.
Dia berkata hanya dua peratus daripada jumlah itu ada perjanjian bersama (CA) dengan majikan mereka.
“Jadi, 98 peratus lagi tertakluk kepada belas ihsan majikan dalam soal rundingan penyelarasan gaji tahunan atau berkala.
“Ini antara sebab mengapa gaji kita tidak berkembang dan negara kita berdepan masalah gaji rendah,” katanya lagi.

Dia turut memetik laporan ekonomi oleh Kementerian Kewangan yang menunjukkan gaji yang diterima pekerja tidak mencerminkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Menurut Economic Outlook Report 2024 oleh Kementerian Kewangan, kadar pendapatan pekerja adalah 32.4 peratus daripada KDNK pada 2023.
“Namun, laporan itu juga menunjukkan ia masih rendah berbanding negara lain dan kurang daripada sasaran 40 peratus menjelang 2025.
“Ini menunjukkan pekerja masih tidak menikmati manfaat daripada pertumbuhan ekonomi kita,” katanya lagi.
Sementara itu, Veeriah juga skeptikal terhadap kebolehan dasar gaji progresif kerajaan untuk meningkatkan gaji pekerja.
Dia meragui keberkesanan dasar itu kerana berasaskan kesukarelaan, selain ia bersifat eksperimental dengan skop yang terbatas.
Dia sebaliknya menggesa kerajaan melakukan perubahan struktural.
“Kita mesti beralih daripada konsep gaji minimum kepada ‘gaji untuk hidup’ (living wage). Untuk pemahaman, walaupun kita menetapkan gaji minimum pada RM2,000, paras garis kemiskinan kita adalah RM2,589.
“Selain itu, majikan perlu diwajibkan membuat penyelarasan gaji dengan mengambil kira KDNK dan indeks harga pengguna berdasarkan masa nyata.
“Jika KDNK naik, gaji juga patut diselaraskan sewajarnya,” katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/10/53560767b254f44b2bd05775752baf3c.jpg)
