CPPS: Undang-undang Syariah tidak perlu ganti Common Law
Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS) memandang berat cadangan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim supaya undang-undang syariah menggantikan common law Inggeris, kata Pengerusinya, Tan Sri Datuk Ramon V Navaratnam.
Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS) memandang berat cadangan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim supaya undang-undang syariah menggantikan common law Inggeris, kata Pengerusinya, Tan Sri Datuk Ramon V Navaratnam.
Beliau berkata, ketua hakim negara juga percaya bahawa seksyen 3 dan 5 Akta Undang-undang Sivil 1956 perlu dipinda kerana ia memberi laluan kepada undang-undang Inggeris, kesaksamaan dan statut ke dalam undang-undang Malaysia.
Ahmad Fairuz dilaporkan berkata seksyen 3 akta berkenaan memberi laluan kepada mahkamah negara ini untuk mengetepikan Common Law Inggeris, jika terdapat undang-undang tempatan.
Sebaliknya, kata Ketua Hakim Negara itu, mungkin sudah tiba masanya untuk memartabatkan undang-undang Islam bukan sahaja dalam perundangan negara tetapi juga perundangan antarabangsa.
Sehubungan itu, Ramon berkata, CPPS yakin bahawa Common Law Inggeris mampu menyediakan satu sistem kehakiman yang adil kepada semua rakyat Malaysia.
Sambil mengakui bahawa undang-undang Syariah memberi kepentingan kepada keadilan, tetapi CPPS katanya, berpendapat adalah tidak adil untuk melaksanakan undang-undang tersebut ke atas mereka yang tidak berpegang atau terikat dengan sistem, peraturan dan prinsip-prinsipnya.
Kontrak sosial
Dalam satu kenyataan hari ini, Ramon berkata, 40 peratus rakyat Malaysia tergolong dalam kategori tersebut.
Beliau berkata, undang-undang Syariah tidak boleh dilaksanakan ke atas mereka kerana ia bercanggah dengan kontrak sosial dan semangat bersefahaman serta sifat tolak ansur yang memberi keamanan dan keharmonian yang dinikmati Malaysia hari ini.
Mahkamah sivil di Malaysia, kata Ramon, selama ini telah memberi perkhidmatanyang baik kepada negara, dengan membawa kepada pertumbuhan ekonomi, kestabilan politik, serta petunjuk-petunjuk yang sihat mengenai kemajuan negara.
"Menggantikannya dengan undang-undang Syariah akan mencetuskan reaksi tidak perlu dari kalangan masyarakat antarabangsa, apatah lagi dari rakan perniagaan, kewangan dan perdagangan," katanya.
Bidang kehakiman, tegas beliau lagi, adalah untuk memelihara dan mempertahankan Perlembagaan serta hak semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
"Menjelang sambutan Hari Kebangsaan kita, ramai pemimpin yang menekankan pentingnya muafakat dan kerjasama antara semua pihak bagi mencapai perpaduan nasional. Begitu juga dengan sistem perundangan yang juga tidak terkecuali daripada memerlukan perjanjian bersama.
Semangat muafakat
"Menggantikan Common Law dengan undang-undang Syariah bercanggah dengan semangat kemuafakatan yang menjalin sejarah negara kita bersama," tambahnya.
CPPS, kata Ramon memahami bahawa keadilan bermaksud melindungi semua pihak dan sistem perundangan sedia ada sudah mencukupi untuk tujuan tersebut.
Sebaliknya, kata beliau, memaksa sesuatu prinsip yang tidak dipersetujui oleh semua rakyat Malaysia secara langsung melanggar prinsip-prinsip sejagat Islam Hadhari.
"Kami menggesa kerajaan supaya memberi tumpuan kepada Common Law yang sedia ada berasaskan kepada Perlembagaan Negara, dan bukan menggantikannya dengan Undang-undang Syariah," tambahnya.
Menurut Ramon lagi, kenyataan-kenyataan yang bercanggah oleh mereka yang berkedudukan tinggi dalam pihak berkuasa adalah amat sensitif yang tidak seharusnya dibincangkan secara terbuka sehingga ianya dibahaskan di kalangan para pemimpin kerajaan.

