Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berharap segala usaha yang dilakukan oleh mahasiswa untuk 'memerdekakan' kampus mendapat sokongan masyarakat yang prihatin terhadap keadilan yang ingin disuburkan di negara ini.

Pengerusinya, Syekh Omar Ali berkata, atas kesedaran itu juga, para mahasiswa telah menghantar memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Suhakam menuntut pilihanraya kampus (PRK) yang bersih dan adil.

Katanya, lebih 1,000 mahasiswa berarak dari Masjid Negara menuju ke pejabat Suhakam untuk menyerahkan memorandum tersebut Jumaat lalu.

"Masyarakat akan melihat ini sebagai suara jati mahasiswa yang berani menuntut keadilan di kampus. Kampus merupakan permulaan kepada kehidupan mencabar di lapangan masyarakat.

"Maka, keadilan di kampus perlu diwujudkan, di samping sebagai melatih mahasiswa agar bersikap kritis, ia juga mengajar mahasiswa dan masyarakat agar mengambil berat tentang keadilan dalam negara tercinta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berhubung kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamad bahawa hanya sebilangan kecil mahasiswa yang menyertai protes tersebut, Syekh Omar berkata, ia adalah kesan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang mencengkam mahasiswa daripada 'merdeka' dari sudut idealisme, keberanian dan kekritisan pemikiran.

'Ugutan dan ancaman'

"Di samping itu, terdapat juga ugutan dan ancaman dibuang dari kolej kediamanan universiti terhadap warga kampus jika tidak memilih calon yang ditaja oleh pihak tertentu. Atas alasan ini, ramai mahasiswa yang

tidak mengendahkan ketidakadilan dan penipuan yang berlaku.

"Mereka berasa tidak perlu untuk menyusahkan diri akibat Auku dan ancaman berterusan tersebut. Maka, tidak hairanlah tidak semua yang membuat protes," tambahnya.

Merujuk kepada kenyataan Mustapa menjemput mahasiswa untuk berbincang tentang pilihanraya kampus (PRK), Syekh Omar berkata, sebenarnya mereka telah membuat inisiatif awal untuk berjumpa dengan menteri berkenaan.

"Namun, mahasiswa berasa agak kecewa kerana KPT hanya menghantar pegawai khasnya, Ahmad Ikmal Ismail. Mahasiswa berasa terpanggil untuk bertanggungjawab dalam soal keadilan kampus. Apatah lagi, terdapat unsur-unsur campurtangan pihak tertentu dalam perjalanan PRK yang dilihat berat sebelah.

"Justeru, mahasiswa telah cuba menghantar wakil untuk berdialog dan bersemuka dengan KPT untuk membincangkan permasalahan tersebut. Mahasiswa melihat KPT mempunyai kaitan dengan segala yang berlaku berhubung kampus. Maka, mahasiswa perlu penjelasan," tambahnya.

Namun, tegas Syekh Omar, pihak KPT hanya menghantar orang bawahan yang menyebabkan mahasiswa merasakan respon mahasiswa tidak kesampaian.