Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) melaporkan semalam keputusan yang kukuh bagi suku tahun kedua dan menjangka bakal mencatatkan keuntungan tertinggi dalam sejarahnya pada tahun ini.

Syarikat penerbangan itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM113 juta dengan jualannya meningkatkan 17 peratus. MAS mencatatkan kerugian RM177 juta bagi tempoh masa yang sama tahun lalu.

"Kita telah mencapai prestasi baik, dengan mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM48 juta dalam suku tahun kedua, yang mengikut tradisinya merupakan tempoh kewangan yang terburuk bagi syarikat penerangan ini," kata Pengarah Urusan MAS, Idris Jala.

Menurut MAS, jualan syarikat penerbangan itu meningkat kepada RM3.55 bilion dalam tempoh tiga bulan - meningkat daripada RM3.032 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Jala optimistik mengenai prestasi syarikat tersebut dalam separuh kedua tahun ini kerana mengikut kebiasaannya jumlah penerbangan melalui udara memuncak dalam tempoh tersebut.

Keuntungan bersejarah

Jala berkata, syarikat penerbangan tersebut menjangka mencatatkan keuntungan tertinggi dalam sejarahnya bagi tahun ini, yang termasuk perolehan daripada jualan aset pesawat.

MAS mensasarkan keuntungan bersih RM300 hingga RM700 juta bagi tahun 2007. Keuntungan bersih tertinggi yang pernah dicatatkan oleh MAS ialah RM460 juta pada 2003.

Menurutnya, penerbangan bagi laluan antarabangsa telah menghasilkan keuntungan RM7 juta berbanding dengan kerugian RM163 juta setahun sebelumnya, manakala laluan domestik pula mencatatkan keuntungan sebanyak RM41 juta.

Mei lalu, MAS telah melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM132.71 bagi suku tahun pertama, berbanding dengan kerugian bersih sebanyak RM321.12 juta pada 2006.

Bagi tempoh separuh tahun pertama 2007, MAS mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM246 juta, berbanding dengan kerugian bersih sebanyak RM498 juta tahun lalu. Jualannya pula meningkatkan kepada RM7.19 bilion - naik 19 peratus, berbanding RM6.05 bilion tahun sebelumnya.

Urusniaga saham syarikat penerbangan itu ditutup pada harga RM4.80 - naik 10 sean atau 2.1 peratus.