Penggantungan Makkal Osai bermotif politik, kata Anwar
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa wujud motif politik yang jelas di sebalik penggantungan akhbar Tamil Makkal Osai .
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa wujud motif politik yang jelas di sebalik penggantungan akhbar Tamil Makkal Osai .
"Sememangnya penerbitan gambar Nabi Isa a.s. tersebut sememangnya tidak sesuai dan tidak patutnya berlaku, namun wujud beberapa perkara yang mencurigakan di sebalik penggantungan akhbar tersebut oleh akhbar Makkal Osai .
"Paling penting sekali, meskipun akhbar
Tamil Nesan
yang mempunyai hubungan rapat dengan Datuk Seri Samy Vellu menerbitkan gambar yang sama di dalam versi yang lebih besar, tiada tindakan diambil ke atas mereka," kata Anwar (foto) yang bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Samy Vellu adalah Presiden MIC yang juga Menteri Kerjaraya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar mendakwa, ia jelas menggambarkan kerajaan mengambil pendekatan berat sebelah, kerana apabila Sarawak Tribune menerbitkan semula kartun Nabi Muahmmad s.a.w., mereka digantung dan akhirnya ditutup terus.
"Apabila mengambil kira laporan mendalam Makkal Osai terhadap skandal Maika dan kes kematian Sujatha, jelas sekali wujud motif politik di sebalik penggantungan mereka.
Gambar kontroversi
"Kerajaan hanyalah mengambil peluang ini untuk menutup media yang bebas dan adil yang bersungguh-sungguh mendedahkan rasuah dan skandal yang membelenggu Malaysia, khususnya isu-isu berkaitan masyarakat India Malaysia yang dipinggirkan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini," tambahnya.
Anwar mendakwa, penggantungan Makkal Osai bukan berkaitan dengan gambar yang kontroversi tersebut.
Sebaliknya, beliau mendakwa, ia lebih berbentuk balasan terhadap Makkal Osai mengenai dakwaan salahtadbir dan pembohongan berkaitan Maika Holdings serta kes kematian Sujatha.
"Ini satu-satunya penjelasan mengapa kerajaan menggantung Makkal Osai meskipun Majlis Perundingan Budha, Kristian, Hindu dan Sikh Malaysia telah menerima keputusan akhbar tersebut meminta maaf dan kesal di atas penggantungannya.
"Saya menyeru kerajaan menarik balik serta merta penggantungan Makkal Osai dan tidak lagi berpura-pura menjadi penjaga masyarakat Malaysia yang majmuk tetapi pada masa yang sama cuba memecahbelahkan pelbagai bangsa dan agama yang ada di negara kita," katanya.

