Pemuda PAS: Tindakan KKDN terhadap Makkal Osai terlalu berat
Pemuda PAS menyifatkan penggantungan penerbitan akhbar Makkal Osai selama sebulan kerana menyiarkan gambar Nabi Isa a.s memegang sebatang rokok dan tin minuman, sebagai terlalu lama dan tidak sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya.
Pemuda PAS menyifatkan penggantungan penerbitan akhbar Makkal Osai selama sebulan kerana menyiarkan gambar Nabi Isa a.s memegang sebatang rokok dan tin minuman, sebagai terlalu lama dan tidak sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya.
Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, ini kerana akhbar tersebut telah mengakui mereka tidak sengaja melakukan kesalahan tersebut dan mengakui ia adalah kesilapan manusia.
"Pemuda PAS berpendapat hukuman itu terlalu berat memandang akhbar berkenaan telah tiga hari berturut-turut memohon maaf kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN).
"Kami merayu hukuman diringankan kepada seminggu sahaja demi kebajikan pekerjanya kerana mereka telah memohon maaf dan kesalahannya pula tidak disengajakan," katanya selepas melawat pejabat Makkal Osai di ibu negara hari ini.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, beliau melawat pejabat Makkal Osai bagi mengetahui sendiri mengapa penerbitan itu digantung ekoran penyiaran gambar Nabi Isa tersebut.
KKDN mengambil tindakan menggantung penerbitan Makkal Osai selama sebulan mulai Jumaat lalu kerana menyiarkan gambar Nabi Isa memegang sebatang rokok di tangan kanannya manakala tangan kirinya memegang setin minuman.
Surat rayuan
Makkal Osai dikenakan tindakan itu kerana melanggar perenggan 6 syarat-syarat permit yang dikeluarkan di bawah subseksyen 6(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memastikan akhbar tidak menyiarkan bahan-bahan penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan dari aspek ketenteraman awam, kemoralan, keselamatan atau yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai atau yang berlawanan dengan undang-undang atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara.
Bagaimanapun, Salahuddin berkata, sentimen menghina mana-mana agama perlu dikawal supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini seperti di sesetengah negara lain.
"Kesalahan Makkal Osai berbeza dengan penyiaran karikatur Nabi Muhammad s.a.w oleh akhbar The New Straits Times dan Sarawak Tribune pada 2005.
"Kedua-dua akhbar itu menyiarkan lukisan karikatur di mana pelukisnya tidak pernah memohon maaf walaupun diminta berbuat demikian," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Makkal Osai, S.M. Periasamy berkata, pihaknya tidak berniat untuk mengutuk mana-mana agama, sebaliknya ia berlaku kerana kesilapan manusia.
Katanya, syarikat Makkal Osai mempunyai 100 pekerja kaum India dan majoritinya beragama Hindu tetapi ada juga yang beragama Islam dan Kristian.
Menurutnya, pekerja yang bertanggungjawab meletakkan gambar tersebut telah dibuang kerja.
"Kami menghormati keputusan kerajaan itu tetapi merayu pihak berkuasa mengurangkan tempoh hukuman demi kebaikan pekerjanya," katanya.
Periasamy berkata, semalam pihaknya menghantar rayuan kepada tiga menteri - Menteri pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin dan Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Maximus Ongkili.

