Zam: Tanggapan Keng Yaik tidak adil
Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin menyifatkan sebagai tidak tepat tanggapan Penasihat Parti Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik bahawa akhbar berbahasa Malaysia dan Cina lebih menyebelahi satu-satu pihak dan tidak adil kepada semua kaum.
Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin menyifatkan sebagai tidak tepat tanggapan Penasihat Parti Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik bahawa akhbar berbahasa Malaysia dan Cina lebih menyebelahi satu-satu pihak dan tidak adil kepada semua kaum.
Sebaliknya, Zainuddin berkata dalam banyak hal, "akhbar Cina dan Melayu adalah lebih adil kepada Malaysia berbanding akhbar berbahasa Inggeris tertentu", demikian menurut laporan
Bernama
.
"Menyatakan Akhbar The Sun sebagai pembela Bangsa Malaysia menunjukkan yang Dr Lim Keng Yaik bersimpati dengan akhbar yang selama ini lebih memperjuangkan 'Malaysian Malaysia'.
"Dalam banyak hal, akhbar The Sun telah menyentuh perkara-perkara yang menyinggung perasaan orang Melayu termasuk hak istimewa orang Melayu, Dasar Ekonomi Baru (DEB), sosial kontrak antara kaum yang dipersetujui sejak sebelum Merdeka dan juga soal perpaduan di kalangan masyarakat," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Perhimpunan Anak-anak Merdeka dan Malaysia di Angkasapuri di sini.
Lim yang juga Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi dipetik sebagai berkata di Pulau Pinang semalam bahawa akhbar The Sun telah menggunakan pendekatan Malaysia berbanding akhbar lain, yang katanya, menyebelahi pihak-pihak tertentu.
Zainuddin berkata akhbar itu sering kali membesar-besarkan isu-isu yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan selain "menyiarkan kenyataan yang menyanggah dan mempersoalkan tindakan kerajaan untuk menggantung akhbar Makkal Osai baru-baru ini".
Katanya tindakan kerajaan itu adalah untuk menjaga supaya setiap agama dihormati dan menunjukkan kerajaan mengambil berat mengenai sensitiviti agama.
'Perlu berhati-hati'
"Seperti akhbar Cina, yang ditulis dan dibaca oleh orang Cina, ia tidak melibatkan perasaan bangsa lain. Tetapi akhbar berbahasa Inggeris perlu lebih berhati-hati kerana ia dibaca oleh semua orang," katanya.
Zainuddin juga berkata akhbar The Sun juga telah membesar-besarkan soal "Merdeka Statement" yang telah dikeluarkan baru-baru ini seolah-olah ia adalah kehendak masyarakat majoriti yang antara lain mendakwa perpaduan antara kaum di negara ini semakin terhakis.
"The Sun juga pernah menyiarkan artikel yang telah membocorkan rahsia kerajaan. Mereka juga telah membesarkan soal cadangan menghapuskan 'Common Law' dan menyiarkan artikel yang menolaknya sedangkan perkara itu belum tentu akan dilaksanakan lagi," katanya.
"Saya ada simpan artikel berkenaan, apa yang kita anggap kita bincangkan dalam kabinet, tapi disiarkan oleh The Sun .
"Apakah tujuan The Sun ? Adakah mereka nak perjuangkan Malaysian Malaysia? Adakah ini yang dikatakan oleh (Datuk Seri Dr) Lim Keng Yaik sebagai surat khabar yang memperjuangkan bangsa Malaysia? Bangsa Malaysia mesti berasaskan kontrak sosial, kepada prinsip-prinsip undang-undang negara ini, bukan di luar (aspek) itu," katanya.
Akhbar tersebut, kata Zainuddin, sewajarnya dilihat sebagai akhbar yang menyokong DAP kerana memperjuangkan gagasan "Malaysian Malaysia", iaitu matlamat perjuangan parti pembangkang itu sejak sekian lama.
Anak-anak Merdeka adalah mereka yang lahir pada detik kemerdekaan negara iaitu 31 Ogos 1957 manakala anak Malaysia dilahirkan pada tarikh Malaysia ditubuhkan iaitu 16 September 1963.

