Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafidah bersajak kenang masa depan negara
Diterbitkan:  Sep 2, 2024 4:08 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Ahli politik veteran dan bekas menteri kanan hari ini menyatakan rasa bimbangnya terhadap perjalanan semasa negara, serta pertelingkahan yang berlaku.

Menurut Rafidah Aziz, kerajaan perlu bertindak segera dengan mengambil pendekatan yang tepat atau berdepan dengan risiko tertinggal daripada kemajuan semasa.

Mengungkapkan perasaannya melalui sajak, Rafidah antara lain menegaskan bahawa dunia tidak pernah menunggu Malaysia untuk mencipta kejayaan sama ada negara ini sudah bersedia atau sebaliknya.

Dia juga berkata rakyat tanpa mengira kaum dan agama memiliki impian yang sama iaitu hidup secara aman dan bebas daripada tekanan.

Bekas ketua Wanita Umno itu juga sempat menitipkan pesanan kepada pemimpin untuk sentiasa menjadi "nakhoda" yang adil serta berintegriti.

Berikut adalah sajak Rafidah bertajuk Ke Arah Mana Haluan Kapal Kita?:

Kapal negara berlayar di lautan
yang sentiasa bergelora dan berombak
suasana global terus mencabar
menguji kerajaan dan rakyat
di setiap tapak
jika kemudi tersalah tersilap arah
tidak pula diperbetul, haluan tak disemak
maka akan terus dilanda badai
angin kuat memecahkan
apa yang sudah retak.

Pasukan anak kapal perlu sentiasa cekap
berpengalaman dan berminda terkini
faham selok-belok mengelak
apa yang merosak, menghancur dan merugi.

Pasukan mesti bertugas secara berkumpulan
yang faham akan unity
berlandaskan nilai-nilai yang betul
berasaskan kata-kata dan tindakan berintegriti.

Penumpang dalam kapal
pelbagai kaum, keturunan dan agama
tetapi hasrat dan cita-cita hidup
tidaklah berbeza
semua hampir sama
semua ingin hidup aman
bebas daripada sebarang ancaman
dan tekanan
selain berharap kapal mereka
tidak terumbang-ambing ke sini sana.

Kapada nakhoda dan anak-anak kapal
Malaysia milik bersama kita
kelola dan pandulah bahtera dan rakyat
dengan berhemah, berintegriti setiap masa.

Jangan berpandu pada matlamat
untuk meraih undi pilihan raya
semata-mata.

Amanah telah diberikan
janganlah disia-sia harapan tinggi rakyat jelata.

Dunia penuh cabaran
dan konflik terus menjejas
tempiasnya kita juga rasa.

Maka kapal Malaysia perlu dipandu
dengan cekap, bersih dan berwibawa.

Tiada masa untuk bercakaran
hanya didorong oleh kepentingan kuasa
atau berpihak-pihak, berkelompok
sesama kita, bercanggah atas segala perkara.

Dunia dan pada pesaing
sentiasa maju pesat selaras dengan masa.

Jangan Malaysia dibiarkan ke belakang
ketinggalan sentiasa
dunia tak menunggu kita
Malaysia diketepikan, pesaing-pesaing
mengambil tempat kita
jika haluan kemudi tak dibaik pulih
dan perbetulkan serta-merta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS