Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sanusi gambarkan poligami macam tukar berus gigi - Maria Chin
Diterbitkan:  Sep 5, 2024 5:10 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Bekas ahli parlimen PKR Maria Chin Abdullah membidas kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu poligami.

Maria merujuk kepada kenyataan Sanusi yang berseloroh bahawa dia mempunyai "dua lagi" kuota ketika mengulas isu perkahwinan keduanya.

"Kenyataan Sanusi memberi gambaran bahawa lelaki boleh berpoligami macam menukar berus gigi mereka.

"Malangnya ini seolah-olahnya pandangan yang dipegang oleh pemimpin," kata aktivis hak wanita itu dalam kenyataan hari ini.

Bekas ahli parlimen Petaling Jaya itu menyifatkan kenyataan Sanusi mengejutkan bagi seorang Menteri Besar.

Jelas Maria, perbincangan terhadap amalan poligami tidak harus melupakan hak-hak yang disediakan pada seorang isteri yang terlibat dalam perkahwinan berpoligami dan seorang suami mesti bertanggungjawap dan menunaikan segala kewajipan yang ditetapkan oleh undang-undang dan hukum Islam.

Maria turut memetik kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada Nov tahun lalu yang mencadangkan supaya ada dasar "memberi sokongan moral" kepada wanita bujang lebih 30 tahun untuk berkahwin poligami.

"Beliau (Tuan Ibrahim) mendakwa terdapat lapan juta wanita yang belum berkahwin, dan poligami adalah jalan keluar bagi perempuan," katanya.

Tambah Maria lagi, pada 4 Jan tahun ini, Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam satu sidang Parlimen, mencadangkan poligami sebagai penyelesaian kepada perkahwinan lewat dalam kalangan wanita Islam.

"Satu tinjauan menunjukkan bahawa 24 peratus perkahwinan poligami berlaku tanpa persetujuan isteri; manakala 18 peratus suami dalam perkahwinan poligami gagal memberikan nafkah dan 14 peratus suami dalam perkahwinan ini mengabaikan nafkah anak.

"Di sinilah pemimpin-pemimpin kita gagal memahami tanggungjawab kebajikan dan kesan yang dihadapi oleh isteri pertama dan anak-anak mereka," katanya.

Maria menambah bahawa pembaharuan dalam memantau perkahwinan tulen perlu dilaksanakan supaya piawaian ditetapkan untuk setiap negeri dengan agar melindungi kepentingan wanita dan kanak-kanak.

"Saya menggesa semua pemimpin untuk membantu membina Malaysia yang lebih progresif yang akan membawa kesaksamaan dan keadilan bagi mereka yang memerlukan dan bukan hanya tertumpu kepada kehendak lelaki," katanya.

Semalam, Sanusi mengesahkan perkahwinan keduanya dengan seorang anggota polis.

Sanusi berkata dia membuat pengakuan itu kerana tidak mahu kisah peribadinya terus menjadi bualan dan menjadi spekulasi sehingga ada yang mendakwa dia ditangkap berkhalwat.

"Adakah (patut tuduh) saya kena tangkap khalwat, tak patut sungguh, saya kahwin dengan anggota polis, isteri (pertamas) saya pergi meminang dia, pinangan itu dibuat berbulan-bulan dah. Alhamdulillah sempurna, teratur. Dia seorang ibu tunggal anak satu.

"Ketika perkahwinan isteri saya ada, anak-anak saya pun hadir dan semua proses (prosedur) dipatuhi. Saya tak berhasrat untuk buat pengumuman, saya nak elak benda sensasi yang tak perlu ini.

"Saya pun kesian tengok hangpa (wartawan) ligan (kejar) saya, saya pun kasihan, saya rasa tak ada isu apa, saya ada kuota dua lagi. Depa kata tok lebai PAS ni kira menikah je kan?" katanya seperti dilapor media.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS