Terdapat peningkatan rasa diskriminasi dalam kalangan belia Cina dan India di negara ini.
Menurut Tinjauan Belia Merdeka Center 2024 yang terbaru, sebanyak 58 peratus responden Cina dan India merasakan komuniti mereka dilayan secara tidak adil, berbanding hanya 43 peratus tahun lepas.
Tinjauan tersebut menyatakan ramai merasakan diskriminasi berpunca daripada layanan tidak adil oleh kerajaan.

Tinjauan tersebut melibatkan 1,605 responden berusia 18-30 tahun, mewakili kaum Melayu, Cina, India, dan kumpulan etnik lain.
Rasa percaya antara kaum
Tinjauan ini juga mendedahkan tahap kepercayaan yang wujud antara kaum berbeza.
Responden Cina menunjukkan tahap kepercayaan tinggi kepada masyarakat Melayu (92 peratus), sementara responden Cina menunjukkan tahap kepercayaan tinggi kepada orang Cina (83 peratus).
Namun, responden Melayu menunjukkan tahap kepercayaan lebih rendah terhadap masyarakat Cina (57 peratus) dan India (53 peratus).

Berkenaan tahap kepercayaan dalam kaum sama pula, masyarakat Cina menunjukkan tahap paling tinggi (95 peratus), disusuli dengan India (85 peratus) dan Melayu (75 peratus).
Selain itu, 73 peratus responden, iaitu kira-kira 1,171 orang, menyatakan ada kawan daripada kaum berbeza, namun responden Melayu di tahap terendah dalam soal ini, iaitu 66 peratus.
Sejumlah responden juga menyatakan aspek kaum tidak menjadi faktor dalam pemilihan kawan mereka.
“Mereka tidak kisah tentang latar belakan kawan mereka, asalkan mereka baik dan mesra,” menurut laporan itu.
