Ribuan pengunjung datang seawal 6 pagi untuk menyaksikan 100 kontinjen sektor awam dan swasta terdiri daripada 12,570 pejalan kaki, 14 kereta berhias dan 25 aset tentera yang menyertai perbarisan sambutan hari kemerdekaan ke-5- serta pertunjukan udara oleh 52 pesawat, termasuk dua pesawat tercanggih Sukhoi SU-30MKM.

Sebaik tiba, Yang di-Pertuan Agung mengambil tabik hormat sebelum lagu Negaraku dimainkan. Sebelum itu, lima helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang dan bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut laporan Bernama, Seri Paduka kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Satu Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diiringi Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja.

Hadir sama untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan ke-50 ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak serta para menteri kabinet.

Acara diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan nyanyian lagu Negaraku dan tembakan meriam 14 das sebelum bergema lagu Jalur Gemilang, lagu Gemilang, Cemerlang, Terbilang, dan lagu tema sambutan, Malaysiaku Gemilang.

Selepas lagu negara itu dimainkan, ia disusuli dengan bacaan ikrar oleh 50 pelajar termasuk pelajar sekolah pendidikan khas yang diketuai Syed Nur Khairin Al-Safi sebelum melaungkan Merdeka sebanyak tujuh kali.

Dataran Merdeka kemudian bertukar lebih meriah dan penuh warna-warni apabila segmen persembahan padang dijayakan 10,000 peserta pertunjukan padang, koir, pasukan pergendangan dan komponen rakyat bersepadu (KRB), bermula.

Persembahan padang itu menyajikan formasi yang menunjukkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di negara ini sejak ia bebas dari cengkaman penjajah 50 tahun lampau. Kumpulan Gendang Simfoni Malaysia pula menampilkan semangat perpaduan antara kaum melalui muzik-muzik yang dimainkan.

Lintas hormat

Empat belas helikopter yang membawa 14 bendera negeri di Malaysia kemudiannya membuat lintas hormat di udara sejurus bermula acara perarakan dan perbarisan yang menampilkan konsep lima era pemerintahan Perdana Menteri Malaysia.

Ia bermula dari Era Kemerdekaan semasa pentadbiran Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Era Pembangunan Tun Abdul Razak Hussein, Era Perpaduan Tun Hussein Onn, Era Pemodenan Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Era Kecemerlangan di bawah pimpinan Abdullah.

Acara perarakan dan perbarisan itu didahului perarakan bendera Jalur Gemilang berukuran 9 meter lebar dan 18 meter panjang yang diarak oleh 60 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dengan diikuti oleh

pancaragam pusat RAMD.

Perbarisan itu diikuti 400 pelatih PLKN membawa bendera Malaysia sebelum diikuti kontinjen kedua PLKN yang dianggotai 400 pelatih yang membawa bendera negeri-negeri.

Perarakan dan perbarisan Era Kemerdekaan kemudiannya dimulakan oleh 100 anggota kontinjen pejuang/veteran kemerdekaan termasuk 20 orang yang menaiki kereta Bufori sebelum diikuti 1,000 peserta yang mewakili kontinjen parti Umno, MCA, MIC dan parti politik di Sabah dan Sarawak.

Ia diikuti kontinjen Old Putra Association, Kontinjen Pahlawan Negara, Kontinjen Veteran ATM, Kontinjen Veteran Komanwel dari United Kingdom, Australia dan New Zealand, kontinjen veteran PDRM, Kontinjen Homeguard, SC dan Jungle Squad.

Kereta berhias kerajaan bertemakan Pembentukan Negara dan Bangsa Malaysia yang diselaraskan oleh Kementerian Penerangan kemudian mengetuai 13 kereta berhias lain sepanjang perarakan itu berlangsung.

Era pemodenan

Era Pembangunan kemudiannya dimulakan dengan perarakan kereta berhias kerajaan bertemakan Pembangunan di bawah Dasar Ekonomi Baru yang diselaraskan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar sebelum diikuti perbarisan kontinjen lain.

Antara kontinjen yang menjayakan perbarisan bagi era pembangunan itu ialah kontinjen Institut Latihan Perindustrian, Institut Latihan Pertanian, FELDA, FELCRA, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Tabung Haji.

Antara kontinjen yang menjayakan perbarisan Era Perpaduan ialah kontinjen KEMAS, Wilayah Persekutuan dan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Perbarisan Era Perpaduan diakhiri dengan kereta berhias Permodalan Nasional Berhad bertemakan Pemilikan Ekuiti Bumiputera Dalam Dasar Ekonomi Negara.

Kontinjen Era Pemodenan pula diserikan dengan empat kereta berhias termasuk kereta berhias bertemakan Pembangunan Industri Petroleum dan Gas oleh Petronas dan kereta berhias Peneraju Industri Automotif Proton.

Antara kontinjen yang menjayakan perbarisan era pemodenan ialah kontinjen JPA, MITI, syarikat-syarikat telekomunikasi dan media, Pos Malaysia, syarikat automotif.

Perarakan dan perbarisan Era Kecemerlangan dimulakan dengan perarakan kereta berhias Teras RMK-9 Misi Nasional oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Pertunjukan udara

Antara kontinjen yang menjayakan perbarisan Era Kecemerlangan ialah kontinjen Kementerian Pelajaran; Kementerian Pengajian Tinggi; Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan; Biro Tata Negara; Kementerian Belia dan Sukan; Majlis Belia Malaysia; dan MARDI.

Ia juga menyaksikan perbarisan kontinjen Pembangunan Wilayah Baru yang dijayakan kontinjen Khazanah Nasional, UEM Group dan kontinjen Johor Cop dan ketika ini pertunjukan udara bermula.

Turut menyerikan acara ialah perarakan kereta berhias Tahun Melawat Malaysia oleh Kementerian Pelancongan sebelum diikuti kontinjen Pertahanan Awam, antaranya, kontinjen RELA, Bomba dan Penyelamat, SMART, Penjara dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Ini diikuti perbarisan masuk kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan antara kontinjen yang mencuri perhatian penonton termasuk kenamaan ialah penyertaan 30 ekor kuda dari Unit Berkuda PDRM dan 24 ekor anjing pengesan K-9 PDRM.

Ketika acara itu berlangsung, pesawat udara termasuk helikopter milik Bomba dan Penyelamat, APMM dan PDRM membuat terbang lintas di Dataran Merdeka ketika kontinjen masing-masing sedang berarak.

Segmen perarakan dan perbarisan itu diakhiri dengan perbarisan kontinjen kesemua ketumbukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diikuti perarakan masuk 25 aset tentera milik ATM termasuk dua kereta kebal PT-91M "Twardy" yang diangkut menggunakan tank-transporter.

Ini diikuti dengan empat daripada 13 kenderaan Konvoi Ekspedisi Kembara Merdeka Cape Town-Kuala Lumpur 2007 (EKM) yang tiba di negara ini semalam.

Lagi patriotik

Serentak itu, ruang angkasa Dataran Merdeka gegak gempita dengan deruan enjin supersonik beberapa jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang melakukan formasi udara menyebabkan semua orang mendongak.

Selain pesawat pejuang MIG-29, Hawk, F18 dan pesawat kargo C130 Hercules, empat jet pejuang Sukhoi yang baru dimiliki TUDM turut membuat persembahan formasi udara termasuk melakukan terjahan 90 darjah yang mendapat tepukan gemuruh daripada orang ramai.

Kira-kira 2,000 anggota komponen rakyat bersepadu kelolaan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan mengambil tempat di hadapan pentas utama untuk persembahan formasi sambil diiringi nyanyian lagu-lagu rakyat dan patriotik. Lagu Negaraku kemudiannya dimainkan menandakan berakhirnya majlis diikuti lintas hormat empat pesawat TUDM.

Kemudian keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong diikuti pembesar-pembesar negara dari dalam dan luar negara. Turut menyaksikan upacara bersejarah itu ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Duke Of York Putera Andrew, Presiden Filipina Gloria Macapagal Arroyo, Putera Mahkota Thailand Maha Vajiralongkorn dan Gabenor General Australia Major General Michael Jeffery.

Pemimpin Asean yang hadir ialah Perdana Menteri Thailand Surayud Chulanont, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Perdana Menteri Laos Bouasone Bouphavanh, Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung dan Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla, selain duta-duta asing.