Kakak pelatih PLKN yang meninggal dunia dakwa PLKN cuai
Kakak sulungnya kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang meninggal dunia semalam, Mohd Rafi Ameer, 18, mendakwa terdapat unsur-unsur kecuaian di pihak kem PLKN dalam menguruskan adiknya yang mengalami demam dan bengkak kaki selepas dikatakan kerana terjatuh semasa latihan dan kemudian meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
Kakak sulungnya kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang meninggal dunia semalam, Mohd Rafi Ameer, 18, mendakwa terdapat unsur-unsur kecuaian di pihak kem PLKN dalam menguruskan adiknya yang mengalami demam dan bengkak kaki selepas dikatakan kerana terjatuh semasa latihan dan kemudian meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
Jubaidah, 25, ketika ditemui pemberita, mendakwa adiknya muntah darah sebelum meninggal dunia di dalam perjalanan ke HTAA dan telah diberikan suntikan di tangan oleh doktor yang merawatnya.
Semasa menerima rawatan di Hospital Kemaman, katanya, pihak hospital ada juga memberitahunya kemungkinan sebelum itu Mohd Rafi pernah termakan makanan yang tercemar dengan najis haiwan dan mengidap demam kuning, demikian menurut laporan Bernama.
Jenazah Mohd Rafi yang menjalani latihan PLKN di Kem Cheneh Cemerlang di Kemaman, Terengganu, selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam Kampung Assam Jawa di Kuala Selangor kira-kira jam 6 petang semalam selepas solat jenazah di Masjid Jamek Al Nuriah Bukit Rotan.
Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di kediamannya di Taman Kasawari, Bukit Rotan pada jam 3.45 petang.
Minta penjelasan
Mohd Rafi meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan kira-kira jam 10.00 malam semalam. Mohd Rafi sebelum itu dimasukkan ke Hospital Kemaman sebelum dirujuk ke HTAA.
Mohd Rafi merupakan seorang daripada 137 pelatih PLKN Kem Cheneh Cemerlang Kumpulan 3 Siri 4 2007 yang dijangka tamat latihan pada 8 September ini.
Mohd Rafi adalah anak keempat daripada enam beradik dan mereka merupakan anak yatim piatu, tinggal bersama bapa saudara mereka di sini.
Sementara itu, Anggota Parlimen Kuala Selangor Mohd Daud Tarihep pula meminta pentadbiran Jabatan Latihan Khidmat Negara melakukan siasatan segera dan menjelaskan kenapa pihak berkenaan gagal memberitahu keadaan sebenar yang menimpa Mohd Rafi kepada keluarganya.
"Tindakan sewajarnya perlu dikenakan kepada pihak terbabit jika didapati cuai. Saya akan membawa kes ini pada persidangan di Parlimen minggu depan," katanya kepada pemberita ketika ditemui sebelum solat
jenazah Allahyarham.

