Seorang lagi ditahan polis
Polis menahan seorang lagi ekoran penyebaran khabar angin yang mendakwa satu rusuhan kaum akan berlaku pada hari sambutan kemerdekaan negara Jumaat lalu.
Polis menahan seorang lagi ekoran penyebaran khabar angin yang mendakwa satu rusuhan kaum akan berlaku pada hari sambutan kemerdekaan negara Jumaat lalu.
Lelaki berusia 37 tahun ini ditahan di Johor, demikian menurut laporan the New Straits Times semalam. Sebelum ini, empat orang lagi telahpun ditahan di bawah ISA, yang membolehkan mereka ditahan tanpa bicara.
Mereka didakwa menghantar SMS melalui telefon bimbit yang mendakwa satu keganasan kaum akan berlaku pada hari Jumaat lalu, iaitu hari Malaysia menyambut kemerdekaannya ke-50.
Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Mohamad Mokhtar Mohamad Shariff berkata, pihaknya akan bertindak tegas dalam mengesan mereka yang terbabit menyebarkan SMS tersebut.
Menurut laporan media Jumaat lalu, pihak polis telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk menyiasat penyebaran khabar angin tersebut.
November lalu, tersebar SMS yang mendakwa sekumpulan orang Melayu akan dibaptiskan sebagai Kristian sehingga mencetuskan bantahan umat Islam di negeri Perak.
Ekoran itu, kerajaan telah memberi amaran bahawa ISA akan digunakan terhadap mereka yang menyebarkan SMS yang boleh mencetuskan ketegangan di negara ini.
- AFP

