PAS memperakui hak Teresa Kok untuk bersuara dan memberi pandangan, namun menganggap kenyataan ahli politik terbabit berhubung isu sijil halal sebagai "tidak munasabah."

Justeru Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menasihatkan Kok agar tidak terburu-buru kerana isu berkenaan masih di peringkat cadangan tetapi dia sudah memberi gambaran yang salah khususnya berhubung Islam dan pentadbiran agama di negara ini.

Kata Takiyuddin sebagai ahli parlimen kerajaan, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu sepatutnya sedar bahawa setiap dasar baru kerajaan harus melalui proses yang teratur dan panjang.

Antara proses itu ialah mendapat kelulusan kabinet yang di dalamnya turut dianggotai oleh wakil DAP.

"Oleh kerana cadangan ini masih berada pada peringkat kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), adalah lebih munasabah dan sopan sekiranya Kok memanfaatkan saluran dalaman kerajaan - sama ada untuk membantah, memberi cadangan balas mahupun mendapatkan penjelasan lanjut.

"Sebaliknya, tindakan beliau mengeluarkan kenyataan terbuka telah menimbulkan polemik, ketidaktenteraman dan salah faham awam yang tidak perlu sama sekali," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kerajaan juga ada peranan

Kok kini menjadi tumpuan pelbagai pihak - termasuk polis - ekoran kenyataannya yang kurang bersetuju terhadap cadangan mewajibkan premis tidak menyajikan daging babi dan alkohol mendapat sijil halal Jakim.

Untuk rekod rancangan itu - yang digambarkan masih di peringkat cadangan - diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Na'im Mokhtar baru-baru ini.

Menurut Mohd Na'im untuk membolehkan pelaksanaan peraturan berkenaan, pelbagai langkah perlu diambil terlebih dulu termasuk meminda atau menggubal akta di parlimen.

Takiyuddin berkata tindakan Kok seolah-olah mahu memecah-belahkan masyarakat walaupun kenyataan dibuat Mohd Na'im hanya terkait dengan orang Islam untuk memastikan hak mereka medapat makanan yang disahkan halal.

"Dengan kata lain, restoran dan kedai makan milik orang bukan Islam tidak seharusnya menerima pengunjung beragama Islam ke premis mereka tanpa sijil halal.

"Mereka juga tidak boleh dibenarkan 'memberi gambaran' bahawa produk yang ditawarkan boleh dinikmati oleh orang Islam," katanya.

Beberapa kes semasa, tambah Takiyuddin, menimbulkan isu kebolehpercayaan dan syak wasangka dalam kalangan rakyat.

"Walaupun PAS bersetuju bahawa orang Islam harus lebih prihatin dalam pilihan masing-masing, namun kerajaan juga ada peranannya dalam memastikan keadaan itu lebih terkawal," katanya.

"PAS memperakui Ahli Parlimen Seputeh itu menyuarakan pandangan beliau secara bebas, namun beliau juga perlu lebih bertanggungjawab dan jujur, selain memastikan pandangan itu tidak tersasar sehingga menimbulkan polemik dan ketegangan dalam masyarakat.

"Dalam isu ini, PAS percaya Kok tidak bertindak mengikut pertimbangan yang wajar dan objektif, sebaliknya lebih dipengaruhi oleh emosi untuk tujuan-tujuan politik kepartian dan peribadinya sendiri," katanya.

Luaskan pasaran

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) M Suthan berkata perniagaan bukan Islam harus digalakkan untuk mendapatkan pensijilan halal untuk memanfaatkan bahagian pasaran yang lebih besar.

"Kita harus menggalakkan lebih ramai pemilik (perniagaan) bukan Islam untuk melepaskan ketakutan dan mengejar pensijilan halal- kerana ia membuka pasaran untuk mereka dan membolehkan orang Islam memerhati perniagaan mereka dengan lebih mudah," katanya kepada Malaysiakini.

Suthan menambah bahawa jenama rempah dan restoran utama seperti Pelita, Babas dan Mazza Spice telah berkembang, walaupun bukan milik Islam, dengan berjaya menggunakan pensijilan halal untuk meneroka pasaran yang lebih besar.

Bagaimanapun, pemimpin PN itu mengakui bahawa sesetengah perniagaan mungkin tidak dapat berbuat demikian atas sebab budaya dan agama.

“Jadi, kita harus membiarkan pemilik perniagaan ini memutuskan sama ada mereka mahu meneruskannya atas kehendak mereka sendiri.

"Tetapi saya bersetuju dengan Takiyuddin bahawa pengendali perniagaan yang adil dan bertanggungjawab harus melakukan apa yang betul untuk majoriti pelanggan yang mereka layani," katanya.