Anwar: Pak Lah sekali lagi gagal tunjuk ketegasan politik
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi gagal menunjukkan ketegasan politik apabila bersetuju dengan permintaan menteri pengangkutan untuk mendapatkan pinjaman RM4.6 bilion untuk projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi gagal menunjukkan ketegasan politik apabila bersetuju dengan permintaan menteri pengangkutan untuk mendapatkan pinjaman RM4.6 bilion untuk projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
"Ini merupakan satu 'bailout' (tindakan menyelamat). Tambahan lagi, usul pembangkang untuk membahaskan perkara tersebut di Parlimen ditolak.
"Kedua-dua insiden ini menggambarkan bagaimana niat kerajaan yang kononnya hendak melakukan yang terbaik untuk negara, tidak dapat mengatasi risiko yang mereka hadapi untuk menyelesaikan perkara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar bertanya apakah insiden tersebut akan memberi keyakinan kepada pelabur asing yang mahu ditarik kerajaan melabur di koridor-koridor pertumbuhan yang baru dilancarkan.
Bekas timbalan perdana menteri itu mendakwa, skandal PKFZ bernilai RM4.6 bilion itu telah mendedahkan kisah sebenar di belakang konsep perkongsian kuasa Barisan Nasional (BN) kerana ia membabitkan pemimpin pusat dan setempat parti komponennya.
Oleh itu, tegasnya, kerajaan tak sepatutnya terkejut dengan keputusan Lembaga Zon Bebas Jebel Ali (Jafza) dari Dubai, yang mengurus PKFZ sebelum ini, untuk menarik diri pada Julai 2007 di atas sebab campurtangan politik dan birokrasi.
Menurut Anwar, Kuala Dimensi Sdn Bhd membeli tanah tersebut dari Koperasi Kemajuan Pulau Lumut pada harga RM95 juta pada 1999 dan kemudian menjualnya ke Lembaga Pelabuhan Klang pada RM1.1 bilion pada tahun 2003, meskipun wujud tentangan di dalam kerajaan terhadap pembelian pada harga tersebut.
Nelayan terpinggir
Kerajaan, katanya, boleh mengambilalih tanah tersebut di bawah Kanun Tanah Negara pada harga RM10 sekaki persegi, tetapi membelinya pada RM23 sekaki persegi.
"Kuala Dimensi kemudian dilantik kontraktor untuk projek tersebut, dan telah melaporkan pertambahan kos sehingga RM3.3 bilion," katanya.
Anwar mendakwa, pihak-pihak yang berkepentingan telah mendapat untung yang berlipat kali ganda daripada penjualan tanah tersebut, tetapi para nelayan Melayu yang menganggotai koperasi berkenaan, terus terpinggir.
Menurutnya, kenyataan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr. Ling Liong Sik bahawa projek ini merupakan "idea yang baik" tidak sekali-kali boleh digunakan untuk menutup korupsi dan kronisme dalam projek tersebut.
"Daripada membuang masanya cuba mempertahankan projek ini, Liong Sik sepatutnya disoal di atas peranan asal dan kelemahan pengurusan yang mencetuskan peristiwa mengaibkan ini.
"Sekali lagi saya menuntut kerajaan memenuhi tuntutan awal kami supaya (ditubuhkan) sebuah suruhanjaya bebas untuk menyiasat dan mendedahkan siapa yang bertanggungjawab untuk skandal besar ini," tambahnya.

