Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kepimpinan PAS diminta ‘jangan tembak peluru tabur’ ketika serang DAP

MUKTAMAR PEMUDA PAS l Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohd Firdaus Nawi meminta kepimpinan parti supaya tidak bertindak ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’ dan ‘jangan menembak peluru tabur’ ketika menyerang balas DAP.

Menurutnya tindakan seumpama itu dikhuatiri mengguris hati rakan-rakan bukan Islam yang menjadi sasaran dakwah mereka.

“Jangan marahkan nyamuk kelambu dibakar, jangan menembak peluru tabur sehingga sasaran dakwah kita dari bukan Islam merasa kita turut menyasarkan mereka.

“Yang erat itu pimpin, yang sabar itu mehnah, yang berkat itu memimpin yang sukar itu istiqamah,” katanya ketika sesi perbahasan ucaptama ketua pemuda sempena Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kerdau, Temerloh, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Firdaus turut menegaskan agar kepimpinan parti tidak terperangkap dengan jerat DAP.

Tegasnya, perlu diingat bahawa DAP bukannya mewakili kaum Cina atau India.

“Lidah mereka adalah lidah jahat yang mengeluarkan kenyataan untuk melaga-lagakan kehormanian antara kaum. 

“Pastikan sahabat-sahabat, dalam kita membalas serangan kepada DAP jangan tempiasnya terkena rakan-rakan kita daripada kaum Cina dan India yang sesungguhnya masih ramai cintakan kedamaian dan keharmonian sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Selain itu tambahnya PAS juga perlu memperhebatkan pembinaan pelapis masa depan termasuk pengkaderan remaja di peringkat sekolah.

“Saya mohon di semua negeri lipat gandakan pengkaderan di peringkat sekolah. Hasil daripada lipat gandakan pengkaderan di peringkat sekolah.

“Hasil pengkaderan di peringkat sekolah ini akan mengukuhkan pengkaderan di peringkat mahasiswa,” kata Mohd Firdaus lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS