Syed Husin ditawar bertanding di Perlis
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perlis menawarkan kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali untuk bertanding di kerusi Parlimen di Perlis dalam pilihanraya umum yang akan datang.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perlis menawarkan kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali untuk bertanding di kerusi Parlimen di Perlis dalam pilihanraya umum yang akan datang.
Pengerusi PKR Perlis, Ab Ghani Ismail berkata, terdapat kerusi Parlimen di Perlis yang telah dipersetujui oleh Barisan Rakyat Perlis untuk ditandingi calon PKR.
"PKR Perlis juga akan menampilkan beberapa calon di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, rundingan agihan kerusi pilihanraya di Perlis antara PKR dan PAS Perlis sudah selesaii.
Calon wanita
Ab Ghani menegaskan bahawa perpaduan yang jitu antara PKR dan PAS Perlis akan dibuktikan melalui pertembungan satu lawan satu dengan calon dari Umno dan MCA dalam pilihanraya umum akan datang.
PKR Perlis juga, katanya, menyokong penuh sasaran pergerakan Wanita parti itu bahawa wanita akan mengisi 30 peratus perwakilan dalam proses menggubal dasar dan keputusan penting negara di pelbagai peringkat pentadbiran .
"Sehubungan dengan itu, kami akan menampilkan wanita sebagai antara calon kami dalam pilihanraya umum yang akan datang.
"Sesungguhnya kami bersedia berhadapan dengan Umno Perlis mahupun MCA Perlis, walaupun perlu berdepan dengan calon Menteri Besar Perlis yang baru," katanya.

