Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Doktor didakwa bunuh diri akibat buli, polis tolak unsur jenayah

Polis Lahad Datu menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah berhubung kematian seorang pakar patologi di hospital daerah itu, Dr Tay Tien Yaa, yang didakwa membunuh diri kerana menjadi mangsa buli.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan dibuat ahli keluarga mangsa, tetapi polis belum dapat menentukan punca kejadian tersebut.

"Tetapi daripada siasatan kami, tiada unsur jenayah buat masa ini," kata Dzulbaharin seperti dilaporkan oleh The Star.

Dia menambah pihaknya akan menyerahkan isu dakwaan buli itu kepada Kementerian Kesihatan.

Menurut makluman kematian yang dikeluarkan oleh Hospital Lahad Datu, Tay Tien meninggal dunia pada 29 Ogos.

Adiknya, yang menggunakan nama YS Tay di Facebook, dalam satu hantaran semalam mendakwa Tay Tien yang melapor diri di hospital Lahad Datu pada Feb lalu meninggal dunia akibat tekanan dan menjadi mangsa buli.

Dia berkata, kakaknya yang baru berkahwin dijanjikan oleh pihak pengurusan akan dipindahkan kembali ke Semenanjung untuk bersama suaminya selepas dua tahun perkhidmatan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, kakaknya, Wenya Tay, mengesahkan kematian Tay Tien dan adiknya telah membuat hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut kerana siasatan polis masih berjalan.

Janji ambil tindakan tegas

Kematian Tay Tien berlaku di tengah-tengah aduan tentang keadaan kerja yang teruk dan perbuatan buli terhadap kakitangan kesihatan di hospital kerajaan di Sabah oleh pegawai yang lebih senior.

Dilaporkan doktor mengalami penderaan lisan dan fizikal di hospital, termasuk cemuhan, cercaan perkauman dan ancaman dengan objek tajam kerana tidak mengikut arahan.

Susulan itu, Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berikrar tidak akan bertolak ansur dengan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai atasan.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak berkata isu buli di sektor kesihatan awam terus berlarutan dan semakin buruk walaupun satu pasukan petugas telah ditubuhkan pada 2022 untuk menyiasat dan menangani masalah ini.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Kalwinder Singh Khaira, menuntut kementerian mengambil tindakan lebih tegas terhadap sesiapa yang didapati melindungi pembuli.

Dalam kenyataan pada Jumaat lalu, dia menggesa siasatan menyeluruh yang membawa kepada tindakan tegas terhadap pembuli sambil mengalu-alukan komitmen kementerian untuk tidak bertolak ansur dengan kes buli.

Dia juga menyatakan bahawa MMA telah menyerahkan satu kes buli kepada kementerian, yang kini dalam siasatan.

Kementerian kesihatan dan MMA mempunyai saluran untuk kakitangan kesihatan membuat aduan namun buli dalam sektor kesihatan awam dan swasta masih berterusan.

Pengamal perubatan boleh melaporkan insiden melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) kementerian atau platform Bantuan Doktor MMA untuk melaporkan kes buli.

Pada Oktober lalu, kementerian kesihatan membuat janji yang sama untuk menangani buli di tempat kerja selepas satu kaji selidik terhadap pengamal perubatan kerajaan dan swasta mendedahkan 30 hingga 40 peratus telah mengalami kejadian buli semasa bertugas.


Sekiranya anda merasa tertekan atau mempunyai kecenderungan membunuh diri, atau mengenali seseorang yang berdepan situasi itu, sila hubungi talian bantuan berikut:

Talian Kasih

Hotline: 15999

The Befrienders

Hotline: 03-76272929

Pusat Kaunseling Agape Malaysia

Hotline: 03-77855955 atau 03-77810800

Life Line Association Malaysia

Hotline: 03-42657995


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS