Kira-kira 100 penternak babi di Paya Mengkuang di Melaka, membuat benteng manusia di depan pintu masuk ladang mereka bagi menghalang operasi pihak berkuasa untuk menutup ladang ternakan mereka itu.

Pada masa yang sama, terdapat kira-kira 300 anggota polis termasuk anggota Rela di situ, termasuk 50 daripadanya yang lengkap berpakaian menutup seluruh badan mereka, dan sedang menunggu arahan kerajaan negeri untuk memulakan operasi tersebut.

Pihak polis juga menutup semua jalan masuk ke Paya Mengkuang yang merupakan sebuah kampung baru Cina.

Separuh daripada anggota polis terbabit adalah dari Unit Simpanan Persekutuan.

Terdapat enam jentera pengorek yang dibawa untuk menggali lubang bagi menghapuskan babi di ladang tersebut serta enam trak polis, termasuk yang dilengkapkan dengan meriam air.

Penduduk terbabit yang terdiri daripada kaum lelaki, wanita dan kanak-kanak turut membawa bendera jalur gemiling dan kain rentang 'gemilang 50 tahun merdeka'.

Keadaan reda

Bagaimanapun, keadaan kembali reda selepas pasukan polis dan Rela bergerak meninggalkan tempat tersebut pada kira-kira jam 4.05 petang, ekoran hasil rundingan antara pemimpin MCA, kerajaan negeri, Umno tengahari tadi.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Desa Melaka, Datuk Abdul Rahman Palit memberitahu malaysiakini , mesyuarat tersebut diadakan atas arahan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Katanya, mesyuarat tersebut diadakan jam 12 tengahari tadi di Pejabat Umno Masjid Tanah, dengan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusof yang juga ketua Umno bahagian Alor Gajah.

Mereka yang menghadiri mesyuarat itu ialah Exco Pertanian dan Pembangunan Desa, Datuk Hamdin Abdullah; Menteri Sumber Manusia, Datuk Fong Chan Onn yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Pengerusi MCA Melaka, Timbalannya, Datuk Tan Boon Tau, serta dua ahli exco kerajaan negeri dari MCA - Koh Nai Kwang dan Datuk Siah Kwai Tong, dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Wong Nai Chee.

Menurut Abdul Rahman, yang turut menghadiri mesyuarat tersebut, kerajaan negeri mengarahkan Rela menghapuskan 92,000 ekor babi dan hanya 48,000 ekor dibenarkan diternak.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan telah memberi tempoh sehingga 21 September ini untuk penternak mengeluarkan ternakan tersebut - sama ada disembelih atau dibawa ke tempat lain.

Menurut Abdul Rahman, pihak penternak meminta agar jumlah tersebut dikurangkan kepada 60,000 ekor.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tetap dengan keputusannya hanya membenarkan 48,000 ekor babi diternak.

Katanya, jika pihak penternak gagal berbuat demikian selepas tempoh tersebut, maka tindakan menghapuskan ternakan babi berkenaan akan dijalankan.

Pindah babi

Difahamkan, pihak penternak bersetuju untuk memindahkan seribu ekor babi hari ini, dan 2,500 ekor lagi setiap hari sehinggalah 21 September ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengarahkan supaya ladang-ladang di situ ditutup bagi mengurangkan pencemaran dan jumlah ternakan babi di Melaka. Ia membabitkan 15 ladang.

Di samping Paya Mengkuang, dua lagi kampung - Ayer Molek dan Bukit Beruang - turut terbabit dengan arahan tersebut

Penduduk Paya Mengkuang mendakwa, mereka tidak menerima sebarang notis dari pihak berkuasa untuk menutup ladang tersebut.

Jalan masuk ke Ayer Molek dan Bukit Beruang turut ditutup, dan keadaan yang sama dilaporkan berlaku apabila penduduknya bertindak menghalangkan pihak berkuasa daripada menjalankan operasi menutup ladang babit mereka.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri Melaka Julai lalu bahawa terdapat 150,000 bagi di Melaka.

Menurutnya, jumlah tersebut perlu dikurangkan kepada maksimum 48,000 bagi mengatasi masalah pencemaran akibat buangan dari ladang-ladang ternakan babi terbabit.