Dua kertas peperiksaan UPSR didakwa bocor
Dua kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam didakwa bocor dan Kementerian Pelajaran sedang menunggu laporan siasatan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mengenainya.
Dua kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam didakwa bocor dan Kementerian Pelajaran sedang menunggu laporan siasatan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mengenainya.
Kertas yang didakwa bocor itu ialah Kertas Bahasa Melayu Bahagian B dan Kertas 2 Matematik dalam peperiksaan yang diduduki murid Tahun Enam semalam.
Seramai 511,519 calon di seluruh negara menduduki UPSR tahun ini yang bermula semalam hingga esok, demikian menurut laporan Bernama.
Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementerian memandang serius dakwaan kebocoran tersebut.
"Saya sudah arah LPM buat siasatan secepat mungkin kerana mereka yang bertanggungjawab," katanya kepada pemberita.
Dua tahun tak bocor
Sebelum itu beliau merasmikan majlis sambutan ulang tahun ke-40 Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (Seameo)-Pusat Serantau bagi Pendidikan Sains dan Matematik (Recsam) di Pulau Pinang hari ini.
Ditanya kemungkinan murid yang mengambil kertas peperikaan itu perlu menduduki semula kedua-dua kertas peperiksaan berkenaan, Hishammuddin berkata ia bergantung kepada keadaan.
"LPM cukup pakar dalam apa jua kemungkinan cuma kita nak tahu apa yang berlaku. Mungkin tiada perkara yang serius," katanya.
Hishammudin berkata, beliau mahu siasatan merangkumi semua aspek termasuk waktu kebocoran dan jumlah murid yang terlibat.
Menurutnya, masalah soalan peperiksaan bocor tidak timbul sejak dua tahun lalu.

