Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Mungkin bagi PM, kes OKU diserang lagi rumit daripada skandal 1MDB’
Diterbitkan:  Sep 20, 2024 4:39 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Tidak menyembunyikan kekecewaannya berhubung kelambatan perjalanan kes serangan ke atas pemandu e-hailing, Mohamed Hanipa Maidin memberi respons sarkastik terhadap kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Barangkali, pada pandangannya (Anwar), kes ini sangat rumit. Justeru, ia perlu siasatan terperinci.

“Mungkin ia lebih rumit daripada skandal 1MDB,” kata pemimpin Amanah itu dalam hantaran di Facebook hari ini.

Hari ini, Anwar ketika ditanya mengenai kes serangan ke atas Ong Ing Keong berkata, ada kes yang memerlukan masa dan menggesa orang ramai agar tidak membuat penilaian terlalu awal.

Bagaimanapun, Hanipa yang menjadi timbalan menteri undng-undang ketika kerajaan PH pada 2018, tampak tidak setuju dengan kenyataan itu.

“Sebagai peguam jenayah, saya sebaliknya sentiasa mengandaikan kes yang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (menyebabkan kecederaan secara sengaja) adalah kes paling mudah.

“Apa-apa pun, marilah bersangka baik terhadap kerajaan ini. No worries, be happy,” katanya sinis.

Pada minggu lalu, Hanipa memberitahu Malaysiakini yang jika dia adalah presiden Amanah, dia tidak teragak-agak untuk mendesak mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan.

"Jika saya presiden Amanah (yang saya tidak berminat dan tidak layak), saya akan mendesak EGM untuk mengundi sama ada untuk kekal atau keluar daripada kerajaan perpaduan. Selesai.

"Jika saya Peguam Negara (yang saya tidak berminat dan tidak layak), saya akan mendakwa pelaku jenayah yang didakwa tanpa takut atau pilih kasih, insyaAllah," katanya.

Hanipa menyifatkan kes serangan itu sebagai satu kes yang mudah.

"Pada pandangan saya, ini kes yang paling mudah. Terdapat seorang pesalah yang didakwa. Terdapat seorang mangsa yang disahkan. Terdapat undang-undang yang jelas.

"Terdapat seorang perdana menteri yang telah mengisytiharkan kepada seluruh dunia kerajaan baru akan mempertahankan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

"Terdapat seorang peguam negara yang diamanahkan untuk membawa pesalah yang didakwa ke mahkamah," katanya.

Pada 28 Mei lalu, Ong diserang di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur oleh seorang anggota polis yang mengiring Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pada 5 September lalu, Ong dan Lawyers for Liberty (LFL) menyerahkan memorandum dan rakaman insiden kepada Pejabat Perdana Menteri.

Memorandum itu antara lain menggesa Anwar menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan bebas untuk kes itu.

LFL juga membangkitkan kenyataan polis yang kertas siasatan telah diserahkan kepada pendakwaraya sebanyak dua kali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS