Pemuda PAS mendakwa sambutan besar-besaran ulangtahun kemerdekaan ke-50 Jumaat lalu dibuat semata-mata untuk kepentingan Umno kerana didakwa telah mengenepikan perjuangan dan sumbangan rakyat terbanyak.

Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, kerajaan telah mengetepikan perjuangan dan sumbangan pihak lain dalam memperjuangkan kemerdekaan negara 50 tahun lalu.

"Mereka telah mengetepikan sumbangan Tan Cheng Lock, Tun Sambathan, Burhanuddin al Helmy dan tokoh-tokoh pejuang lain," katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan pembohongan fakta sejarah dalam sambutan 50 tahun kemerdekaan, kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (Kekwa), Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim di pejabatnya di ibu negara ini semalam.

Memorandum tersebut diterima oleh Setiausaha Politik menteri berkenaan, Zainuddin Ismail.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, sehubungan itu fakta sejarah perlu diperbetulkan dengan memasukkan juga sumbangan rakyat terbanyak kepada kemerdekaan negara.

"Kekwa telah gagal mengendalikan sambutan kemerdekaan atas paksi kebenaran dan keadilan sejarah, bahkan ternyata telah menafikan fakta kemerderkaan, sebaliknya cuba mengangkat parti pemerintah sebagai pejuang kemerdekaan yang sebenar," katanya.

Tidak diundang

Salahuddin berkata, Pemuda PAS sedia mengambil bahagian dalam memeriahkan kemerdekaan tetapi malangnya ia tidak diundang.

"Kerajaan seolah-olah menganggap kemerdekaan ini hanya untuk orang Umno dan kerana itu sumbangan pihak lain tidak dihargai.

"Kerana itu semangat kemerdekaan di kalangan rakyat begitu hambar kerana kerajaan mengiktiraf perjuangan Umno sahaja," katanya.

Sementara itu, Salahuddin dalam memorandum tersebut berkata, penyelewengan fakta sejarah merupakan satu ketidakadilan dan mendakwa ia adalah untuk kepentingan politik pemerintah.

Katanya, sambutan kemerdekaan tahun ini penuh dengan propaganda rekaan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihanraya umum akan datang.

Menurutnya, sambutan kemerdekaan merupakan penyelewengan dan salahguna kuasa BN dan kaitan sambutan kemerdekaan dengan melibatkan seluruh jentera kerajaan dengan komponen Umno dan BN.