Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah sedar selepas menjalani pembedahan pintasan jantung semalam, kata anaknya, Datuk Mirzan Mahathir.

"Ya...jam (waktunya) saya tak tahu sangat, kena tanya IJN," katanya kepada kepada pemberita di lobi Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur jam 3.50 petang tadi.

Para doktor dipercayai sedang menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap Dr Mahathir selepas beliau sedar dan satu kenyataan rasmi dijangka dikeluarkan oleh IJN kemudian, demikian menurut laporan Bernama.

Sebelum ini, IJN berkata para doktor berpuas hati dengan perkembangan kesihatan beliau selepas pembedahan selama lima jam bermula 9.30 pagi semalam.

Bekas perdana menteri berusia 81 tahun itu kini dalam keadaan stabil di Unit Rawatan Rapi.

Ditanya sama ada Dr Mahathir dah boleh bercakap, Mirzan berkata "ya".

Beliau kemudian meminta diri untuk masuk semula ke wad.

Semalam, anak perempuan Dr Mahathir, Datin Paduka Marina Mahathir, berkata pembedahan pintasan jantung bapanya berjalan lancar seperti yang dirancangkan.

Pembedahan pintasan jantung itu adalah yang kedua dijalani oleh Dr Mahathir selepas yang pertama pada 24 Januari 1989 ekoran satu serangan jantung.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin merupakan antara mereka yang menziarahi Dr Mahathir di IJN petang ini.