Saksi mengaku gugup di mahkamah
Pegawai kanan Unit Tindakan Khas (UTK) DSP Yusri Hasan Basri menjelaskan kepada Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini berhubung percanggahan keterangannya dan kenyataan kepada polis dengan menyatakan bahawa beliau gugup dan gementar sewaktu memberi keterangan di mahkamah.
Pegawai kanan Unit Tindakan Khas (UTK) DSP Yusri Hasan Basri menjelaskan kepada Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini berhubung percanggahan keterangannya dan kenyataan kepada polis dengan menyatakan bahawa beliau gugup dan gementar sewaktu memberi keterangan di mahkamah.
Yusri, 33, berkata beliau merasakan begitu kerana semalam merupakan kali pertama dalam 16 tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) beliau memberi keterangan di mahkamah dan juga memberi keterangan dalam kes berprofil tinggi.
Menurut laporan Bernama, kredibiliti Yusri, yang telah dipanggil sebagai saksi ketiga oleh pembelaan pada perbicaraan dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada kenyataan tertuduh Sirul Azhar Umar kepada pegawai soal siasat ASP Zulkarnain Samsudin bahawa dia boleh menunjukkan di mana barang kemas milik wanita Mongollia Altantuya Shaariibuu disimpan, dicabar oleh pihak pendakwa.
Pihak pendakwa mendakwa terdapat empat percanggahan antara keterangan saksi itu dan kenyataannya di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah yang dirakam oleh pegawai penyiasat ASP Tonny Lunggan pada 2 dan 3 Ogos lalu.
Yusri berkata beliau bertambah gementar apabila Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah memberi isyarat gertak terhadapnya sewaktu mahkamah berhenti rehat semalam seolah-olah akan "mengasaknya" semasa menyoalnya di mahkamah.
Yusri kemudiannya menjelaskan kepada Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bahawa keterangan yang diberikannya di mahkamah semalam adalah keterangan sebenar.
'Tidak berapa ingat'
Katanya, semasa beliau memberikan kenyataan kepada Tonny, beliau tidak beberapa ingat tentang kejadian di rumah Sirul Azhar yang berlaku hampir sembilan bulan lalu iaitu pada 7 November tahun lalu.
Dalam perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu bahawa polis telah menjumpai barang kemas di dalam jaket Sirul di dalam almari di bilik tidur Sirul.
Mereka pergi ke rumah Sirul di Kota Damansara pada 7 November tahun lalu setelah memperolehi maklumat dari Sirul mengenai barang kemas tersebut.
Sirul menafikan dia ada mendedahkan maklumat kepada polis berhubung penemuan barang kemas itu dan berkata dia diarahkan polis untuk menunjukkan barang kemas untuk dirakamkan jurugambar.
Sirul, 36 dan C/Insp Azilah Hadri, 31, dituduh membunuh Altantuya, 28, manakala penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 47, dituduh bersubahat.

