Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja pam minyak pengsan, bukan kena tembak - Polis

Penularan gambar memaparkan seorang pekerja pam minyak di Taiping terbaring dalam keadaan berlumuran darah adalah disebabkan masalah kesihatan, bukannya ditembak seperti dakwaan yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata pihaknya mengesan penularan gambar itu berserta komen "tukang pump minyak pun kena tembak mati lepas kena ragut" pada Jumaat lepas.

Beliau berkata pihak polis telah menjalankan siasatan dan mendapati pekerja wanita di stesen minyak Batu 2 ½, Simpang itu pengsan dan jatuh akibat masalah kesihatan.

"Kepala mangsa terhentak ke lantai dan mengalami kecederaan sehingga berdarah dan mangsa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Justeru itu, Mohamad Nasir meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran awam dan menggugat keharmonian masyarakat.

Beliau juga berkata sebarang penyebaran maklumat yang tidak benar dan palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS