Peguam terkemuka, Tan Sri Zaki Azmi menjadi orang pertama yang dilantik terus sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, dan tidak mengikuti urutan kebiasaannya di mana seseorang itu terlebih dahulu dilantik menjadi hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Peguam berusia 62 tahun itu, yang mempunyai kaitan rapat dengan Umno - pernah menjadi penasihat undang-undang parti itu - menerima watikah perlantikannya daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara pagi ini.

Sebelum ini, hanya peguam Datuk Gopal Sri Ram yang dilantik terus menjadi hakim Mahkamah Rayuan.

Zaki, anak kepada Tun Azmi Mohamed yang menjadi Ketua Hakim Negara dari 1966 hingga 1974, merupakan perunding kepada sebuah firma perundangan terkenal sejak September lalu.

Beliau juga pernah dilantik menganggotai Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis pada 2004. Zaki juga merupakan Penasihat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Majlis Sukan Negara.

Zaki juga pernah menjadi pengerusi jawatankuasa disiplin Umno, setiausaha jawatankuasa pemilihan Umno dan timbalan pengerusi lembaga rayuan disiplin Umno.

Kontroversi perceraian

Bagaimanapun, beliau melepaskan jawatan tersebut pada 2005 ekoran tercetusnya kontroversi berhubung perceraiannya dengan isterinya keduanya yang berusia 30-an.

Zaki mengahwini Nor Hayati Yahaya, 32, pada bulan Mei 2005 dan mereka berpisah selepas tiga bulan mendirikan rumahtangga.

Pasangan tersebut dikahwinkan oleh seorang kadi dari Thailand di Perlis dan kedua-duanya bersetuju untuk membakar sijil asal perkahwinan mereka bagi menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan isteri pertamanya.

Mereka juga mencapai persetujuan sebelum perkahwinan itu bahawa jika hubungan mereka bermasalah, mereka bersetuju untuk berpisah.

Sejak itu, Zaki mendakwa beliau menerima pelbagai ugutan dari Nor Hayati, who, termasuk dakwaan meminta RM10 juta daripadanya.

Nor Hayati juga didakwa mendesaknya supaya mendaftarkan perkahwinan mereka, jika tidak, dia didakwa mengugut untuk mencemarkan reputasi Zaki.

Perlantikan lain

Zaki adalah antara 14 hakim baru yang menerima watikah perlantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan di Istana Negara hari ini.

Menurut laporan Bernama, majlis tersebut didahului oleh Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Hamid Mohamad, diikuti Hakim Besar Malaya, Datuk Alauddin Mohd Sheriff. Abdul Hamid, 65, dilantik menggantikan Tan Sri Abdul Malek Ahmad yang meninggal dunia akibat kanser otak pada 1 Jun lalu.

Beliau mula menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang pada Jun 1969 sebagai majistret di Kangar, Perlis.

Abdul Hamid juga pernah menyandang jawatan Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan dan Perak selain menjawat Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1 Mac 1992.

Pada 1 September 2000 pula beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan diikuti Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003.

Alauddin, 61, mengambil alih jawatan Hakim Besar Malaya yang dipangku Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sejak Tan Sri Norma Yaakob bersara pada 5 Januari lalu.

Alauddin pernah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 April 2001 dan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 17 Julai 2004.

Turut menerima suratcara pelantikan ialah seorang lagi Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkifli Ahmad Makinudin.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi yang turut menerima suratcara pelantikan ialah Datuk Mohd Safian Tan Sri Abd Razak, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Abdul Alim Abdullah, Datuk Ghazali Cha, John Louis O'Hara, Rosnaini Saub, Lim Yee Lan, Suraya Othman, Datuk Abd Rahim Uda dan Noor Azian Shaari.

Turut hadir menyaksikan majlis itu Tun Ahmad Fairuz, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Halijah Abbas. (Berita asal)