Bajet 2008 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok dijangka menumpukan kepada usaha melonjakkan pertumbuhan dan memenangi hati pengundi menjelang pilihanraya umum yang diramalkan awal tahun depan.

Para penganalisa berkata, selain menyediakan "gula-gula" untuk mendapatkan sokongan pengundi yang kini bersungut kerana kenaikan harga minyak dan barangan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan cuba meningkatkan dayasaing dengan kuasa-kuasa serantau seperti China.

"Intipati bajet 2008 ialah untuk memesatkan lagi pelaksanaan projek-projek sedia ada, mempelbagaikan sumber pertumbuhan dan meningkatkan dayasaing," kata ahli ekonomi dari Bank Pelaburan Kenanga, Wan Suhaimi Saidie.

Malaysia mensasarkan kadar pertumbuhan sebanyak 6.0 peratus tahun ini, selepas ekonominya berkembang sebanyak 5.9 peratus pada 2006.

Tetapi para penganalisa berkata, kerajaan mesti memperkenalkan langkah-langkah untuk melonjakkan permintaan domestik memandangkan eksport yang semakin mengendur dan meningkatnya risiko kelembapan ekonomi Amerika Syarikat, akibat daripada krisis pinjaman sub-prima.

Ahli ekonomi dengan Kumpulan Global Capital Markets yang beribupejabat di Singapura, Chua Hak Bin berkata, bajet kali ini dijangka penuh dengan berita-berita gembira yang berkaitan dengan pilihanraya umum yang diramal diadakan lebih awal dari tarikh akhirnya pada 2009.

"Kita menjangka ia akan merupakan bajet pra-pilihanraya yang mensasarkan kepada rakyat," katanya kepada AFP.

Defisit meluas

Para pemerhati ekonomi berkata, kerajaan dijangka mengurangkan cukai pendapatan peribadi sehingga dua peratus bagi tempoh dua tahun akan datang, mengurangkannya kepada 26 peratus, selaras dengan pengumuman pengurangan kadar cukai korporat sebelum ini.

"Terdapat keperluan untuk memperkukuhkan permintaan domestik di tengah-tengah pengenduran eksport dan pelaburan yang lembab untuk pulih," kata Chua, sambil menegaskan bahawa negara jiran, Singapura, berkembang lebih pesat dan mempunyai regim percukaian yang rendah.

Malaysia, yang merupakan negara yang mempunyai ekonomi ketiga terbesar di rantau Asia Tenggara, mengalami kemerosotan pelaburan asing dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Pada 2006, jumlahnya dianggarkan sebanyak AS$3.9 bllion, berbanding AS$ 5.5 bilion pada 2001.

Bagaimanapun, Wan Suhaimi berkata, kemurahan hati kerajaan itu mungkin dikekang oleh kebimbangan terhadap peningkat defisit dalam bajet.

Kadar Defisit dijangka meningkatkan kepada 3.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau 26.5 bilion pada 2008, daripada anggaran 3.7 peratus daripada KDNK atau 23.1 bilion pada 2007.

Malaysia telah melancarkan pelan pembangunan besar-besaran untuk mengagihkan pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan ke kawasan luarbandar yang majoriti penduduk orang Melayu, yang selama ini merupakan sumber sokongan terkuat pengundi kepada parti Umno pimpinan Abdullah.

- AFP