Sebahagian besar tapak ladang babi di Paya Mengkuang di Masjid Tanah beroperasi di tanah milik agensi kerajaan negeri Melaka - Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan Yayasan Melaka (YM), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Linggi, Datuk Abdul Rahman Palit.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan negeri mengambil tanah tersebut kerana mahu menghalau penternak babi keluar dari situ.

Beliau berkata, PKNM memiliki 500 ekar manakala YM pula mempunyai seluas 100 ekar yang berstatuskan tanah pertanian dan bukannya untuk menternak babi.

Menurut Abdul Rahman, sebahagian daripada tanah milik PKNM dan YM itu disewa kepada penternak babi.

Bagaimanapun, katanya, penternak terbabit tidak memohon untuk menukar status tanah tersebut, daripada pertanian kepada kawasan ternakan.

"Kerajaan negeri bercadang untuk memajukan tanah tersebut dengan projek perindustrian selain pelancongan seperti di kawasan sekitarnya," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Abdul Rahman berkata, sebelum ini ada usaha-usaha untuk memajukan kawasan tapak ternakan itu, tetapi tidak berjaya.

Bagaimanapun, katanya, tiada pihak yang bersedia untuk memajukan kawasan terbabit.

Katanya, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan notis mengarahkan sebahagian ladang ternakan babi di situ ditutupkan kerana masalah pencemaran alam sekitar.

Pencemaran bau dan air

"Lebih 70 peratus daripada antara 25,000 hingga 30,000 penduduk di sekitar Linggi merupakan orang Melayu yang terpaksa menghadapi pencemaran bau dan air setiap hari," katanya.

Abdul Rahman berkata, ini bermakna, tindakan kerajaan negeri mengarah pemilik ladang babi mengurangkan ternakan daripada 120,000 ekor kepada 48,000 bukan isu perkauman.

Katanya, semalam penternak melaporkan mereka telah memindahkan 2,500 ekor babi dari kawasan ternakan mereka.

Abdul Rahman berkata, penternak terbabit berjanji akan mengeluarkan lebihan ternakan babi itu selewat-lewatnya 21 September ini sebagaimana yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Kita tidak akan melayan sebarang tuntutan untuk melewat-lewatkan proses memindahkan babi itu selepas tarikh tersebut," katanya.

Selasa lalu, kira-kira 100 penternak babi di Paya Mengkuang di Melaka, membuat benteng manusia di depan pintu masuk ladang mereka bagi menghalang operasi pihak berkuasa untuk menutup ladang ternakan mereka itu.

Bagaimanapun, keadaan kembali reda selepas pasukan polis dan Rela bergerak meninggalkan tempat tersebut pada kira-kira jam 4.05 petang, ekoran hasil rundingan antara pemimpin MCA, kerajaan negeri dan Umno.