Sepuluh personaliti, khususnya ahli politik telah disenaraikan dan para pelajar yang tinggal di asrama di Universiti Malaya (UM) telah diminta membuat pilihan masing-masing dalam tinjauan oleh pihak universiti tersebut, Selasa lalu.

Dan mereka diwajib membuat pilihan tersebut serta menjawab semua soalan dalam borang tinjauan tersebut.

Antara personaliti yang disenaraikan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak serta pemimpin pembangkang seperti Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Turut disenaraikan ialah Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria. Beberapa pelajar terbabit memberitahu malaysiakini bahawa mereka tidak kenal siapakah Harussani.

Pelajar juga diarahkan memberi skor mata antara satu hingga 10 di hujung nama personaliti berkenaan, berdasarkan minat masing-masing.

Carta populariti itu adalah sebahagian daripada borang tinjauan lima muka surat - yang ditanda sulit - yang diedarkan kepada pelajar yang menghuni asrama UM pada hari Selasa [lihat bawah]. Mereka diberi tempoh 24 jam untuk mengisi borang tersebut.

Tinjauan itu diedarkan kepada para pelajar terbabit oleh pihak pengurusan asrama masing-masing.

Soalan politik

Pelajar terbabit juga diminta mengisi butiran peribadi mereka - nama, pekerjaan dan pendapatan bulan ibubapa masing-masing. Soalan-soalan lain dalam tinjauan tersebut mempunyai unsur-unsur politik.

Sebagai contohnya, para pelajar diminta menjelaskan kefahaman mereka mengenai Islam Hadhari, konsep yang diilhamkan oleh perdana menteri sekarang.

Satu lagi soalan meminta mereka menulis mengenai "pengaruh" parti-parti pembangkang ke atas pelajar.

Mereka juga diminta memberi pandangan sama ada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), yang menghalang pelajar terbabit dalam politik, patut dipinda atau dikekalkan.

Soalan-soalan lain adalah berkaitan dengan politik kampus dan para pelajar diminta memberi pandangan mereka mengenai kumpulan pro-kerajaan (Aspirasi) dan Persatuan Pelajar Islam (PMI) yang anti-establishment.

Pilihanraya kampus

Presiden PMI, Mohd Dzulkhairi Mohd Noor, ketika dihubungi, percaya tinjauan tersebut ada kaitan dengan pilihanraya kampus tidak lama lagi.

Difahamkan, pihak pentadbiran universiti sedang mengumpulkan maklumat mengenai sintimen politik di kalangan pelajar sebelum pilihanraya kampus yang dijangka diadakan minggu depan.

DItanya mengapa hanya PMI disebut dalam tinjauan tersebut sedangkan terdapat banyak lagi badan-badan pelajar berdaftar di UM, Dzulkhairi berkata, ia kerana PMI adalah persatuan terbesar di kampus tersebut.

"Ia bukan setakat satu tinjauan. Sejak beberapa bulan yang lalu, risalah juga telah diedarkan dalam kampus dan di asrama, menuduh kami terbabit dengan (parti pembangkang) PAS, sedangkan ia tidak benar," katanya.

PMI dan beberapa badan pelajar selalu dilaga-lagakan dengan kumpulan pelajar yang ditaja oleh kerajaan, yang lebih dikenali sebagai kumpulan Aspirasi, sewaktu pilihanraya kampus.

Pihak UM tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai tinjauan tersebut. Mereka dipercaya sibuk dengan majlis konvokesyen yang akan berakhir Ahad ini. Berita asal