Salah seorang daripada anggota militan yang paling dikehendaki di Asia Tenggara berjaya membolosi operasi tentera di wilayah selatan Filiplina, dan kini berada di Malaysia, demikian menurut satu laporan akhbar hari ini.

Dulmatin, seorang rakyat Indonesia, yang dikehendaki kerana pembabitannya dalam peristiwa pengeboman sebuah kelab malam di Bali pada 2002 yang mengorban 202 orang, dilaporkan sedang bersembunyi di sebuah pulau di Malaysia Timur, lapor akhbar Filipina, Philippine Star.

Dulmatin yang merupakan seorang anggota kanan kumpulan militan Jemaah Islamiah, tidak berada di Basilan atau Sulu di wilayah selatan Filipina, laporan akhbar tersebut yang memetik "sumber-sumber Indonesia yang layak dipercayai".

Menurut akhbar itu lagi, Dulmatin memboloskan diri dari Filipina ketika pihak tentera yang dibantu oleh para penasihat Pasukan Gerak Khas Amerika melancarkan gerakan ketenteraan di Basilan dan Sulu sejak dua bulan lalu.

Alami kecederaan

Menurut para pegawai tentera Filipina, Dulmatin adalah antara mereka yang cedera dalam serbuan yang dilancarkan ke atas puak pemisah Filipina, Kumpulan Abu Sayyaf di Basilan.

Awal tahun ini, isteri Dulmatin, Istiada Binti Oemar Sovie, dan anak-anaknya, telah ditahan di wilayah selatan Filipina dan dihantar pulang ke Indonesia.

Kerajaan Amerika menawarkan pampasan AS$11 juta bagi menangkap Dulmatin.

Dulmatin, seorang pakar membuat bom, bersembunyi di wilayah selatan Filipina selepas peristiwa pengeboman Bali pada 2002.

Dia dikatakan mengajar kemahiran membuat bom kepada anggota militan Abu Sayaaf yang memberi perlindungan kepadanya.

Dulmatin, seorang pakar dalam bidang elektronik yang mendapat latihan di kem al-Qaeda di Afghanistan, dianggap sebagai salah seorang pelatih dan pembuat bom yang terbaik JI.

- AFP