Hakim mahkamah tinggi Syariah ditahan reman
Seorang hakim Mahkamah Tinggi Syariah hari ini ditahan direman empat hari bagi membantu siasatan membabitkan dakwaan menerima suapan berjumlah RM4,200 bagi mempercepatkan proses penyelesaian dua kes syariah.
Seorang hakim Mahkamah Tinggi Syariah hari ini ditahan direman empat hari bagi membantu siasatan membabitkan dakwaan menerima suapan berjumlah RM4,200 bagi mempercepatkan proses penyelesaian dua kes syariah.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Wong Lok Hai berikutan permohonan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Menurut laporan Bernama, hakim berusia sekitar 50-an yang memakai seluar khaki berwarna coklat cerah, t-shirt putih dan bertopi, dibawa ke mahkamah pada jam 9.30 pagi.
BPR sebelum itu memohon untuk menahan hakim berkenaan bagi tempoh maksimum 14 hari. Bagaimanapun Wong berkata siasatan kes itu boleh diselesaikan dalam tempoh yang diberikan.
"Sekiranya siasatan tidak dapat diselesaikan, mereka (BPR) boleh datang semula untuk menyambung tempoh reman," katanya kepada pemberita.
Hakim terbabit ditahan untuk membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Semalam BPR Perak menahan hakim itu di pejabatnya di Ipoh pada jam 3.30 petang kerana disyaki terbabit dengan rasuah selepas menerima aduan orang ramai.

