PKNM, Yayasan Melaka perjelas isu kawasan ternakan babi
Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) menjelaskan bahawa sebahagian daripada 528 ekar tanah milik perbadanan itu di Paya Mengkuang, Masjid Tanah merupakan tapak ternakan babi ketika ia mengambil alih kawasan tersebut 10 tahun yang lalu.
Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) menjelaskan bahawa sebahagian daripada 528 ekar tanah milik perbadanan itu di Paya Mengkuang, Masjid Tanah merupakan tapak ternakan babi ketika ia mengambil alih kawasan tersebut 10 tahun yang lalu.
Jurucakap PKNM berkata, sebahagian besar tanah terbabit adalah milik kerajaan negeri manakala bakinya tanah milik persendirian yang menjadi pusat ternakan babi utama di Melaka.
Bagaimanapun, katanya, selepas PKNM mengambil alih kawasan tersebut, semua penternak babi diarahkan menutup ladang ternakan mereka dan berpindah dari situ.
PKNM mengambil alih kawasan tersebut ekoran perancangan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek petrokimia.
Bagaimanapun, katanya, kawasan tersebut kini terbiar kerana projek berkenaan gagal dilaksanakan kerana ketiadaan pelabur.
Beliau berkata, buat masa ini, PKNM sedang berusaha mendapatkan pelabur yang berminat dan sesuai.
Kegunaan perusahaan
"Penternak pada mulanya membantah pengambilan tanah tersebut tetapi masalah itu berjaya diselesaikan setelah membayar pampasan," katanya ketika diminta mengulas laporan yang menyatakan ada ternakan babi yang dijalankan di tanah milik PKNM dan Yayasan Melaka (YM).
Ketika ditanya sama ada penternak babi membina kandang di atas tanah PKM, jurucakap itu berkata, pemeriksaan dibuat dari masa ke semasa dan didapati ia tidak diceroboh.
Katanya, penternak babi sukar membina kandang babi di kawasan terbabit kerana jarak antara pusat ternakan sedia adalah agak jauh iaitu kira-kira dua kilometer.
Sementara itu, YM mengesahkan yayasan itu mempunyai 126 ekar tanah di Telok Gong, tidak jauh dari Paya Mengkuang untuk kegunaan perusahaan.
Jurucakapnya berkata, tanah tersebut masih kosong kerana ketiadaan penyewa.
"Sebelum ini ada beberapa pihak yang mahu menyewa tanah tersebut tetapi tidak diululuskan kerana matlamat YM ialah untuk dijual dan bukannya disewa," katanya.
Tiada ternakan
Beliau berkata, walaupun tanah YM kosong dan terletak berhampiran pusat ternakan babi, tetapi katanya, setakat yang diketahui pihaknya, tiada kawasan ternakan babi dijalankan di tanah berkenaan.
"Tidak tahulah jika ada pihak yang menceroboh dan menjalankan ternakan babi di tanah milik YM," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Linggi, Datuk Abdul Rahman Palit ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk mengambil semua tanah kawasan ternakan babi Paya Mengkuang untuk dimajukan.
Katanya, apabila tanah tersebut diambil dan dimajukan, secara tidak langsung pusat babi tersebut akan ditutup.

