Chan Kong Choy hanya bercuti, kata Pak Lah
"Mana pula datang cerita, siapa yang beritahu? Beliau akan balik bertugas semula tidak lama lagi".
Demikianlah reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika ditanya mengenai laporan sebuah akhbar yang mengatakan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy telah menghantar surat peletakan jawatan.
Sambil menafikan laporan tersebut dalam sebuah akhbar berbahasa Cina, Perdana Menteri berkata, apa yang berlaku ialah Chan telah menulis surat meminta kebenaran untuk bercuti sakit dan beliau (Abdullah) telah meluluskannya, demikian menurut laporan Bernama.
"Menteri Pengangkutan telahpun meminta kebenaran (bercuti), saya membenarkan beliau mengambil cuti," katanya ketika ditanya pemberita selepas menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di sini hari ini.
"Beliau (Chan) telah meminta cuti selama 12 hari dan tak lama lagi akan balik (kembali bertugas)," kata Perdana Menteri.
Pada 28 Ogos lalu, Setiausaha Akhbar menteri berkenaan, Ng Kok Wai berkata bahawa Chan bercuti selama dua minggu atas sebab kesihatan dan Perdana Menteri telahpun meluluskan permohonan cuti perubatan itu.
Ng berkata Menteri Pengangkutan itu perlu ke luar negara untuk mendapatkan nasihat dan pemeriksaan kesihatan lanjut.

