Parti-parti pembangkang PAS dan PKR mendakwa, polis telah bertindak ganas, termasuk menembak peluru hidup, untuk menyuraikan satu ceramah di Pantai Buruk, Terengganu lewat malam tadi.

Sumber-sumber parti itu memberitahu malaysiakini , dua orang cedera parah akibat terkena tembakan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob, mengesahkan dalam satu sidang akhbar tengahari tadi, bahawa salah seorang anggota polis telah melepaskan sedas tembakan.

Ayub berkata, anggota tersebut dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU), diserang oleh sekumpulan lelaki di kawasan ceramah tersebut diadakan.

"Kira-kira jam 11.45 malam, anggota terbabit Azmi Hussein, 29, sedang menjalankan tugas berhampiran kawasan tempat letak kereta Permai Inn ketika dihampiri kira-kira 20 lelaki yang bertindak mengugut dan memukul anggota itu dengan kayu.

"Semasa hendak beredar, seorang lagi lelaki telah memegang bahu anggota berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis daripada cawangan khas dan terus bertindak memukul mangsa dengan kayu menyebabkan mangsa terjatuh," katanya dalam laporan Bernama.

Katanya, semasa terjatuh penyerang terbabit berterusan menyerang anggota itu sehingga terkena di bahagian kepala menyebabkan anggota itu terpaksa mengeluarkan senjata dan melepaskan satu das tembakan bagi tujuan mempertahankan diri.

Ayub berkata, tembakan itu berjaya menyuraikan kelompok lelaki yang menyerangnya dan anggota polis berkenaan mengambil kesempatan itu untuk menyelamatkan diri dengan pergi ke arah pasukan FRU yang berada di kawasan berhampiran.

Beliau berkata dua lelaki, masing-masing berumur 21 dan 38 tahun daripada kumpulan yang menyerang anggota FRU itu turut tercedera di bahagian bahu dan leher akibat tembakan yang dilepaskan itu dan kini dirawat di HSNZ.

Seorang lagi perusuh turut dimasukkan ke HSNZ akibat kecederaan di kepala dipercayai akibat terkena balingan batu, katanya.

Bagaimanapun, beberapa orang saksi memberitahu malaysiakini bahawa lebih dari sedas tembakan dilepaskan ke arah orang ramai di situ.

Mereka juga mendakwa, beberapa orang awam turut cedera dalam keganasan polis malam tadi.

Sekurang-kurangnya 23 penyokong pembangkang telah ditahan.

Ketegangan antara pihak polis dengan kira-kira 500 orang yang menghadiri ceramah tersebut tercetus apabila mereka enggan mematuhi arahan supaya bersurai dari ceramah anjuran badan pemantau pilihanraya, Bersih.

Menurut polis, pihak penganjur tidak mempunyai permit polis untuk mengadakan ceramah tersebut.

Antara mereka yang berucap ialah Bendahari PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Bersih, sebuah badan gabungan parti-parti pembangkang dan badan bukan kerajaan berkempen untuk piliharanya yang bebas dan adil, dengan menganjurkan forum-forum untuk meningkatan tahap kesedaran mengenainya di seluruh negara.

Menurut sumber-sumber, permohonan untuk mendapatkan permit bagi menganjurkan forum tersebut telah dihantar kepada pihak polis sebelum ini dan bersih beranggapan yang ia telah mendapatkan kelulusan dan memutuskan untuk meneruskannya.

Keadaan menjadi kelam kabut apabila polis dan pihak berkuasa tempatan bersiap sedia untuk merobohkan pentas pada kira-kira jam 10 malam.

Saksi-saksi juga berkata, polis turut melepaskan gas pemedih mata dan menembak meriam air ke arah orang ramai.

Menurut Ayub lagi, anggotanya terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air selepas orang ramai bertindak agresif dan mula membaling batu ke arah mereka.

Polis juga mendakwa bom molotov turut dibaling ke arah anggota FRU yang ditugaskan untuk mengawal orang ramai di situ.

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan antara yang ditahan polis termasuklah wartawan TVPAS.

Manakala antara pemimpin PAS yang turun ditahan adalah bekas anggota Parlimen Kuala Nerus, Mohd Shukrimun.

Di Kuala Lumpur, PAS mengadakan mesyuarat khas mengenainya petang tadi.