Helikopter Nuri akan digunakan dalam operasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk tempoh lima tahun lagi sebelum perkhidmatannya ditamat pada 2012.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin berkata kerajaan memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Nuri secara berperingkat mulai tahun ini kerana ia masih diperlukan pada masa ini.

"Kerajaan telah buat keputusan bahawa TUDM tidak akan tamatkan terus perkhidmatan Nuri sebaliknya ia akan ditamatkan secara berperingkat bemula 2007 dan dijangka tamat pada 2012," katanya sewaktu sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut), Zainal Abidin berkata TUDM sedang mengkaji jenis pesawat yang lebih sesuai dan dapat memenuhi kriteria bagi meneruskan tugas yang Nuri terutama bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, ia akan ditentukan apabila proses Tender Terbuka Antarabangsa ditutup Disember ini dan perolehan pesawat baru itu akan mengambil masa lebih kurang tiga tahun.

Naik taraf peralatan

Pada masa ini, Zainal Abidin, helikopter jenis Sokorsky S-61A-4 buatan Amerika Syarikat itu masih diperlukan untuk menjayakan pengangkutan udara terutama di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi dengan sistem pengangkutan lain.

"Antara fungsi utama Nuri sekarang ialah sentiasa bersedia melaksanakan tugas mencari dan menyelamat sama ada di darat, laut atau udara. Ia juga amat berkesan dalam melaksanakan tugas operasi khas seperti operasi menangani serangan pengganas," katanya.

Mengenai nahas membabitkan helikopter Nuri, Zainal Abidin berkata 15 kejadian telah berlaku dan kerugian yang terpaksa ditanggung kerajaan ialah RM86.9 juta.

Beliau berkata bagi memastikan pesawat berkenaan selamat digunakan, beberapa langkah telah diambil, antaranya, meningkatkan keupayaan untuk beroperasi pada waktu malam dan dalam keadaan cuaca yang kurang baik, menaik taraf peralatan kepada yang lebih canggih dan meneruskan penyelenggaraan yang rapi.

Secara purata TUDM telah membelanjakan RM24.5 juta setahun bagi kerja-kerja penyelenggaraan pesawat yang dibuat melalui penswastaan, katanya.