Seorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan mencuri kereta, hari ini sekali lagi dihukum penjara dua tahun kerana merempuh dan melanggar motosikal dua anggota polis ketika memandu kereta curi berkenaan, bulan lepas.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Siti Shakirah Mohtarudin, menjatuhkan hukuman itu ke atas Lee Soon Heng, 45, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Siti Shakirah kemudian memerintahkan lelaki terbabit menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 23 Sept lalu.
Tertuduh didakwa memandu sebuah kereta dan merempuh serta melanggar dua buah motosikal ditunggang dua anggota polis di lampu isyarat Jalan Segambut pada jam 12.50 tengah hari, 23 Sept lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, semasa kejadian tertuduh ditahan dua anggota polis, masing-masing berumur 36 dan 28 tahun, sebelum dia merempuh mereka untuk melarikan diri.
Terdahulu, timbalan pendakwa raya Nidzuwan Abd Latip memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas Lee dengan mengambil kira kesalahan itu serius, selain tertuduh memandu menggunakan kereta curi.
"Tertuduh sedang menjalani hukuman penjara setahun atas kesalahan memandu kereta curi. Oleh itu, pohon hukuman sewajarnya diberikan kepada tertuduh," katanya.
Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Lee, Simret Singh, memohon hukuman penjara minimum bermula dari tarikh tangkap atas alasan anak guamnya telah insaf selain datang dari keluarga kurang berkemampuan.
"Anak guam saya memohon maaf kepada mahkamah atas kesalahan yang dilakukan. Dia juga mempunyai seorang kekasih dan anak berusia lapan tahun serta masih belum berkahwin.
"Oleh itu, mohon mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara minimum ke atas anak guam saya,” katanya.
- Bernama
