Siapakah yang mesti menanggung tanggungjawab terhadap insiden rusuhan di Kuala Terengganu pihak polis atau penganjur ceramah? Untuk mencari jawapannya, DAP menggesa supaya satu siasatan awam dijalankan dengan segera untuk mengetahui hakikat dan keadaan sebenarnya yang berlaku pada malam Sabtu lalu.

"Siasatan awam seperti ini adalah penting kerana insiden di Kuala Terengganu kelihatan membekalkan bukti penting bahawa ketiga-tiga objektif 125 syor Suruhanjaya Diraja Polis ke arah perkhidmatan polis bertaraf dunia untuk mengurangkan jenayah, menghapuskan rasuah dalam pasukan polis dan menjunjung serta menghormati hak asasi telahpun gagal sama sekali," kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.

Berucap membahaskan rang undang-undang bekalan 2008 di Dewan Rakyat hari ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, rusuhan di Kuala Terengganu tidak akan berlaku jikalau syor-syor suruhanjaya tersebut supaya menghormati hak-hak asasi, khususnya terhadap hak asasi untuk mengadakan perhimpunan, mesyuarat, perjumpaan dan perarakan, dipertimbangkan secara serius.

Menurutnya, suruhanjaya tersebut menyatakan bahawa hak untuk mengadakan perhimpunan, mesyuarat, perjumpaan dan perarakan adalah salah satu kebebasan yang paling asasi dan diperlukan dalam masyarakat demokrasi dan diperuntukkan dalam Perlembagaan Negara (Bab 10 2.3.2i)

Suruhanjaya itu, katanya, telah membuat syor spesifik bagi memastikan hak-hak seseorang untuk menyokong, protes atau berbeza pendapat tidak dihadkan oleh (kebenaran) Ketua Polis Daerah (OCPD) dan untuk memastikan pelaksanaan hak tersebut sendiri tidak dianggap prejudis terhadap keselamatan.

"Jikalau syor-syor ini dapat dilaksanakan, maka rusuhan di Kuala Terengganu tidak akan berlaku dan rakyat tidak akan lagi kehilangan keyakinan terhadap polis, iaitu mengapakah polis boleh menjadikan satu ceramah yang aman bertukar menjadi satu rusuhan," katanya.

Media aliran utama pula, kata Lim, telah melaporkan bahawa dalam rusuhan semalam, bom buatan sendiri dan bom molotov dicampak ke arah polis.

"Kenyataan sebegini amat dipertikaikan, melainkan terdapat satu pengesahan dari pihak ketiga tentang kebenaran fakta ini, yang mana ini merupakan sebab satu siasatan awam mesti dijalankan," katanya.

Cetus ketegangan

Lim mendakwa, berlaku laporan media yang berat sebelah dan mungkin palsu dalam kejadian di Paya Mengkuang, Melaka Selasa lalu sewaktu berlaku ketegangan antara 2,000 anggota pihak berkuasa kerajaan yang terdiri daripada Unit Simpanan Persekutuan, polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa negeri dan tempatan.

Katanya, mereka dilengkapi dengan peralatan anti-rusuhan, meriam air, anggota dalam "space suit" serta sebuah helikopter yang berlegar di ruang udara untuk memantau keadaan di bawah secara berterusan terhadap penduduk kampung yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak dalam satu operasi untuk menghapuskan berpuluh-puluh ribu ekor khinzir di kawasan tersebut.

"Media-media tertentu khususnya TV3 menuduh bahawa penternak khinzir di Paya Mengkuang mencampak bom Molotov ke arah pegawai penguatkuasa dalam keadaan yang tegang itu, di mana ini adalah palsu sama sekali tetapi sehingga sekarang, tidak ada sebarang pembetulan, penarikan balik ataupun pemohonan maaf dari TV3 ataupun media berkenaan.

"Adakah terdapatnya penggunaan kuasa secara berlebihan dan permintaaan yang tidak munasabah di Kuala Terengganu pada malam Sabtu seperti yang berlaku di Paya Mengkuang Selasa lalu - dengan 2,000 kakitangan pelbagai jabatan digerakkan untuk memusnahkan berpuluh ribu khinzir tanpa mengemukakan sebarang notis dan seterusnya meminta 90,000 khinzir dibunuh atau dipindahkan dari neger itu dalam tempoh masa 17 hari hingga 21 September?" soalnya.

Lim mendakwa, Ketua Pemuda MCA dan Timbalan Menteri Sukan dan Belia, Datuk Liow Tiong Lai turut mengecam hebat tindakan Setiausaha Negeri Melaka, Datuk Ismail Salleh dan melabelkan beliau sebagai "Little Napoleon" yang bertanggungjawab terhadap operasi di Paya Mengkuang itu dan memaksa keadaan tegang selama sembilan jam pada 4 September lalu.

"Liow menyalahkan Ismail atas tindakannya yang kejam terhadap lelaki, wanita dan budak sementara kerajaan masih membincangkan bagaimanakah untuk menyelesaikan masalah khinzir. Oleh itu tindakan Ismail yang mengingkari arahan kerajaan negeri, tidak haruslah berulang lagi," katanya.

Lim menyifatkan ucapan Liow itu sebagai satu kejutan, atas dua sebab: Pertama, Liow menyalahkan Setiausaha Negeri Melaka terhadap apa yang berlaku, sedangkan seluruh operasi tersebut, secara jelas, adalah atas arahan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

"Kedua, sekiranya Liow menyalahkan Ali Rustam, adakah terdapatnya pemimpin-pemimpin MCA sama ada di peringkat nasional mahupun negeri meminta supaya tindakan yang serius diambil ke atas Setiausaha Negeri Melaka tersebut, sekurang-kurangnya penyingkiran dari jawatannya dengan kadar yang segera?" soalnya.

Presiden MCA

"Ataupun Liow hanya bersandiwara untuk mengalihkan perhatian umum terhadap kegagalan politik MCA yang terbaru dan juga ketidakbertanggungjawaban mereka walaupun mereka mempunyai perwakilan di tiga peringkat kerajaan-nasional, negeri dan juga kerajaan tempatan," katanya.

Menurut Lim, Ketua Menteri Melaka tidak pernah menafikan tanggunjawabnya atas operasi ini dan beliau telah mengeluarkan kenyataan bahawa operasi untuk menghapuskan khinzir di Paya Mengkuang, Man Lok dan Bukit Beruang elasa lalu diberhentikan atas permintaan Presiden MCA and Menteri Perumahan dan Kerajan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, yang dibuat melalui Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohd Ali, tegas Lim, mengatakan bahawa Ong meminta supaya lebih banyak masa diberi untuk mengurangkan bilangan khinzir di negeri itu ke 48,000 ekor dan ini merupakan sebab beliau diberi tarikh akhir 21hb September.

Sehubungan itu, Lim berkata, pemimpin MCA mesti menjelaskan mengapa mereka bersetuju terhadap larangan menternak khinzir di Melaka hanya dijalankan di Paya Mengkuang dan bukannya di tempat lain di Melaka.

"Begitu juga dengan had penternakan kepada 48,000 ekor pada 21 September 2007 sedangkan mereka melakukannya tanpa mandat dan perundingan dengan penternak-penternak khinzir di Melaka," kata Lim.

Beliau berkata, kabinet telah memutuskan penternak khinzir di Melaka layak memohon bantuan "Dana Untuk Makanan" Bank Negara untuk memasang sistem pembentungan yang bersesuaian dan keputusan itu tidak seharusnya diabaikan oleh kerajaan negeri Melaka yang bertegas untuk menghadkan penternakan khinzir kepada 48,000 ekor sahaja di Melaka.

Dengan itu, katanya, keputusan awal untuk menghapuskan atau mengalihkan 90,000 ekor khinzir sebelum 21 September ini adalah tidak berpatutan dan harus ditarik balik serta-merta